KUALA LUMPUR 13 April - Platform penyewaan rumah, Instahome Sdn. Bhd. bekerjasama dengan Tune Protect Malaysia untuk menawarkan insurans percuma kepada tuan rumah bagi membantu mereka menyewakan aset mereka tanpa rasa bimbang.
Insurans baru dilancarkan itu adalah perkhidmatan yang pertama seumpamanya diperkenalkan di negara ini, membolehkan tuan rumah mengutip deposit keselamatan pada permulaan perjanjian penyewaan selain turut mendapat perlindungan insurans secara percuma.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Instahome, Eric Tan Leong Yit berkata, walaupun tuan rumah memegang deposit penyewa, mereka masih bimbang kemungkinan kerosakan terhadap harta benda atau perabot dicuri penyewa yang melarikan diri.
Katanya, tinjauan terhadap tuan rumah mendapati gabungan deposit sewa tradisional dan insurans tambahan akan memberikan faedah yang terbaik kepada mereka.
"Mengutip deposit keselamatan sahaja mungkin tidak mencukupi kerana kerugian sewa dan kerosakan harta benda boleh melebihi jumlah deposit, manakala mempunyai pakej insurans sahaja tanpa deposit pula melibatkan kos yang tinggi dan memakan masa.
“Kami mendengar keluhan tuan rumah, justeru, Instahome sangat teruja untuk bekerjasama dengan Tune Protect kerana ia dapat membantu mengukuhkan komitmen syarikat dalam menambahbaik pengalaman tuan rumah dalam penyewaan hartanah mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Insurans tersebut bertujuan memberi jaminan tambahan kepada tuan rumah dengan mengurangkan risiko kerugian kewangan yang boleh dialami selepas mereka menyewakan hartanah melalui platform Instahome.
Malah, ia akan melindungi tuan rumah daripada liabiliti dalam proses penyewaan seperti sewa yang tidak dibayar, kerosakan harta benda dan kecurian oleh penyewa.
Dengan insurans tersebut, tuan rumah boleh menyimpan deposit keselamatan 2 setengah bulan yang dikutip, dan sekiranya penyewa melarikan diri, mereka berhak menerima bayaran sehingga RM1,500 untuk kerugian sewa, RM500 untuk yuran guaman, RM15,000 untuk kerosakan harta yang diinsuranskan dan RM1,000 untuk kecurian oleh penyewa. - DagangNews.com








