KUALA LUMPUR 6 Jun - Public Investment Bank percaya sektor sarung tangan getah kini sudah keluar daripada kesuraman ekoran beberapa faktor positif termasuk peningkatan permintaan daripada pelanggan yang kembali mengisi semula inventor mereka.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut meningkatkan saranan sektor dari Underweight kepada Neutral dengan Top Glove, Hartalega dan Kossan Rubber mencatatkan keputusan yang lebih kukuh dalam suku tahun kewangan yang lepas terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam jumlah jualan.
"Kami percaya industri sarung tangan sedang memasuki fasa pemulihan dengan peningkatan permintaan semasa pelanggan mengisi semula inventori mereka.
"Tambahan pula, perkembangan terkini dengan Amerika Syarikat (AS) mengenakan kadar tarif yang lebih tinggi ke atas sarung tangan perubatan dan bedah China dari 7.5% kepada 25% yang berkuat kuasa pada tahun 2026, dijangka mengalihkan pesanan dari China ke Malaysia.
"Ini kebanyakannya tidak dijangka dan bersamaan dengan penormalan harga bahan mentah dan trend kadar pertukaran AS$/RM yang menguntungkan, kami percaya bahawa sektor ini kini keluar daripada kesuraman dan oleh itu, kami meningkatkan rating sektor dari Underweight kepada Neutral," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut PublicInvest, keputusan terkini ketiga-tiga pemain sarung tangan getah dalam liputan menunjukkan tanda-tanda peningkatan dalam jumlah jualan, yang mengakibatkan peningkatan kadar penggunaan dan peningkatan pendapatan QoQ.
Katanya, Top Glove masih dalam keadaan rugi manakala Hartalega melaporkan kerugian bersih teras yang kecil sebanyak RM1.5 juta dan Kossan mencapai keuntungan bersih sebanyak RM25.1juta.
"Kenaikan tarif import AS yang tidak dijangka terhadap sarung tangan perubatan China pula dijangka mengecilkan jurang harga antara pemain sarung tangan Malaysia dan China, meningkatkan daya saing pemain Malaysia dan membolehkan mereka mendapatkan semula bahagian pasaran.
"Kami perhatikan bahawa harga bahan mentah, iaitu nitril butadiena dan lateks telah meningkat sejak Januari 2024, yang dijangka akan menekan margin operasi pada 1H24 tetapi dijangka kembali norma pada 2H24 disebabkan oleh faktor musim," jelasnya.
Sementara itu, kata firma penyelidikan itu, nilai RM lemah berbanding dolar AS akan memberi manfaat kepada sektor sarung tangan getah dengan menguatkan pendapatan dalam ringgit walaupun ini juga bakal menyaksikan kos bahan mentah yang lebih tinggi kerana diperoleh dalam dolar AS.
Kami percaya pengeluar sarung tangan Malaysia sedang memasuki fasa pemulihan, dengan peningkatan dalam jumlah jualan disebabkan oleh pelanggan mengisi semula inventori yang berkurangan.
"Ini menunjukkan ketidaksamaan antara penawaran dan permintaan yang lebih sempit, walaupun tekanan harga dan ASP yang stagnan akan terus mencabar industri.
"Oleh itu, kami meningkatkan penarafan kami ke atas Hartalega, Top Glove dan Kossan dari Underperform kepada Neutral" ujarnya. - DagangNews.com








