Indeks Pelopor susut 1.2% kepada 110.1 mata pada Mac 2023 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Indeks Pelopor susut 1.2% kepada 110.1 mata pada Mac 2023 - DOSM

KUALA LUMPUR 25 Mei - Indeks Pelopor (IP) Malaysia menyusut 1.2% kepada 110.1 mata pada Mac 2023 daripada 111.4 mata pada Mac 2022, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).

 

Dalam kenyataan hari ini, DOSM berkata berdasarkan IP berkenaan, ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang perlahan pada suku ketiga 2023.

 

"Prestasi IP terjejas disebabkan oleh penurunan yang ketara dalam import benar semikonduktor dan Indeks Perusahaan Bursa Malaysia.

 

"Perubahan bulanan IP juga mencatatkan penurunan sebanyak 1.1% pada Mac 2023 berbanding 2.9% pada bulan sebelumnya, disebabkan oleh jangkaan nilai jualan, pembuatan (-0.6%) dan import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus Lain (-0.5%)," katanya.

 

Melihat kepada arah aliran jangka panjang terlicin pada Mac 2023, DOSM berkata IP mencatatkan 99.3 mata berbanding 99.2 mata pada Februari 2023.

 

"Meskipun masih berada di bawah trend 100 mata, ekonomi dijangka berkembang secara sederhana dalam tempoh terdekat.

 

"Jangkaan itu mengambil kira cabaran global dan ketidaktentuan domestik,” katanya.

 

 

dosm

 

 

Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang mencerminkan keadaan ekonomi semasa, meningkat 3.4% kepada 121.9 mata pada Mac 2023 (Mac 2022: 117.9 mata), lapor Bernama.

 

"Peningkatan ini disumbangkan oleh semua komponen kecuali kapasiti penggunaan dan pembuatan.

 

"Pada masa yang sama, perubahan bulanan IS juga mencatatkan peningkatan 0.2%, disokong terutamanya oleh Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (0.3%)," kata DOSM. - DagangNews.com