KUALA LUMPUR 30 Nov - Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia menyederhana kepada 4.0% pada Oktober 2022 berbanding 4.9% pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, aliran tersebut disumbangkan oleh peningkatan indeks pembuatan sebanyak 7.3% (September 2022: 8.1%), berikutan kenaikan satu angka sejak empat bulan lepas.
“Peningkatan dalam sektor ini didorong oleh kenaikan 20.0% dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (September 2022: 19.3%) dan diikuti oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (6.7%, pembuatan produk makanan (5.4%) dan pembuatan kimia dan produk kimia (4.2%).
“Pada masa sama, indeks utiliti merekodkan kenaikan 4.9% bagi indeks bekalan air dan 1.2% bagi indeks bekalan elektrik dan gas,” katanya dalam kenyataan IHPR Pengeluaran Tempatan Oktober 2022 yang dikeluarkan hari ini.
Mohd Uzir berkata, IHPR pada Oktober 2022 ini turut dipengaruhi oleh kejatuhan dua sektor utama iaitu pertanian, perhutanan dan perikanan (-18.2%) serta perlombongan (-0.5%).
Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan naik 0.1% pada Oktober 2022 selepas mencatat penurunan selama empat bulan berturutturut, disumbangkan oleh indeks perlombongan yang naik 5.0% (September 2022: -4.9%).
Ini selari dengan kenaikan harga minyak mentah dunia kepada AS$90.3 setong pada Oktober 2022 berbanding AS$88.2 setong (AS$1=RM4.48) pada September 2022, katanya.
Mengulas inflasi di peringkat pengeluar bagi beberapa negara terpilih, Mohd Uzir berkata, ini menunjukkan peningkatan sederhana berbanding September 2022.
Inflasi peringkat pengeluar bagi Amerika Syarikat misalnya mencatat peningkatan 8.0% (September 2022: 8.4%) disumbangkan oleh harga produk tenaga (21.8%) dan produk makanan (12.7%).
Selain itu, kenaikan bagi produk petroleum (40.6%), kimia dan farmaseutikal (20.1%) dan produk makanan (16.1%) menyumbang kepada kenaikan 14.8% bagi inflasi peringkat pengeluar di United Kingdom pada Oktober 2022 (September 2022: 16.3%), lapor Bernama.
“Trend kejatuhan harga komoditi utama dunia ketika ini secara tidak langsung bakal memberi kesan kepada harga barangan pengguna dan dapat mengurangkan tekanan inflasi pada bulan-bulan mendatang,” katanya. - DagangNews.com








