KUALA LUMPUR 30 Nov - Bilangan kekosongan jawatan diiklankan dalam talian melonjak 23.5% pada suku kedua 2023 dengan merekodkan 261,231 kekosongan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pada suku ini, terdapat 70,571 pertubuhan yang menawarkan kekosongan jawatan, peningkatan ketara daripada 55,006 pertubuhan yang dilaporkan pada suku tahun sebelumnya.
Katanya, kekosongan jawatan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 29.3% pada suku kedua 2023 berbanding peningkatan tahunan 32.9% pada suku pertama 2023.
"Mengikut perincian bulanan, kebanyakan iklan disiarkan pada Mei 2023 dengan 109,262 kekosongan. Selain itu, terdapat 103,826 dan 48,143 kekosongan jawatan masing-masing pada Jun dan April 2023," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Daripada segi pengagihan kekosongan jawatan mengikut kategori pekerjaan, profesional merupakan penyumbang terbesar pada suku tersebut dengan 48.1% atau 125,625 kekosongan jawatan.
Ia diikuti juruteknik dan profesional bersekutu (18.3%), pengurus (15.1%) dan pekerja perkhidmatan dan jualan (6.9%). Oleh itu, jawatan yang mendapat permintaan tinggi pada suku tersebut adalah profesional pengiklanan dan pemasaran (20,846), pengarah urusan dan ketua eksekutif (12,703), profesional bersekutu pentadbiran (12,284), akauntan dan juruaudit (10,781) dan pembangun perisian (7,779).
Bagi kekosongan jawatan mengikut sektor ekonomi, perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kekosongan jawatan diiklankan dalam talian dengan 59% yang mencatatkan sejumlah 154,134 kekosongan pada suku kedua 2023.

Selain itu, kesemua aktiviti ekonomi mencatatkan pertambahan dalam bilangan kekosongan jawatan pada suku kedua 2023 kecuali kesenian, hiburan dan rekreasi, perlombongan dan pengkuarian, aktiviti perkhidmatan lain, bekalan elektrik, gas, wap dan pendingin udara dan bekalan air, pembetungan, pengurusan sisa dan aktiviti pemulihan.
Sementara itu, diperhatikan bahawa perdagangan borong dan runcit mendominasi kekosongan jawatan dengan 18.2% atau 47,597 kekosongan.
Pembuatan merekodkan sebanyak 27,429 kekosongan (10.5%), diikuti aktiviti profesional, saintifik dan teknikal pada 18,667 kekosongan (7.1%) dan aktiviti kewangan dan insurans/takaful dengan 18,665 kekosongan (7.1%).
Mohd Uzir berkata, daripada perspektif pekerjaan popular yang ditawarkan dalam kategori Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), profesional pengiklanan dan pemasaran mencatatkan kekosongan jawatan tertinggi iaitu 20,846.
Katanya, ia diikuti profesional bersekutu pentadbiran (12,284) dan pembangun perisian (7,779).
"Sementara itu, tiga pekerjaan teratas dalam kategori Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah juruteknik (2,758), pengurus projek (2,171) dan jurutera perisian (2,098).
"Bagi senarai pekerjaan kritikal (COL), permintaan tertinggi adalah profesional pengiklanan dan pemasaran (20,846), pengarah urusan dan ketua eksekutif (12,703) dan akauntan dan juruaudit (10,781)," katanya.
Mengenai situasi kekosongan jawatan di peringkat negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terus merekodkan kekosongan jawatan tertinggi pada suku tersebut dengan 59,222 jawatan (22.7%).
Selangor berada di kedudukan kedua dengan sumbangan 7.8% atau 20,438 kekosongan jawatan. Ia diikuti Johor yang meliputi 4.4% atau 11,436 kekosongan. Sebaliknya, Perlis mencatatkan bilangan kekosongan jawatan terendah dengan 91 iklan pada suku kedua 2023.
Berdasarkan keperluan kemahiran dalam pasaran kerja, statistik menunjukkan permintaan tinggi bagi kemahiran insani dalam kalangan majikan terdiri daripada penguasaan bahasa Inggeris, komunikasi yang efektif, penguasaan bahasa Melayu, keupayaan merancang dan kemahiran pemasaran.
Selain itu, terdapat penekanan yang semakin meningkat terhadap kemahiran teknikal iaitu penguasaan Bahasa Mandarin, keupayaan menganalisis, kecekapan dalam Microsoft Office, kepakaran pemfailan dan kemahiran pengurusan projek.
Sehubungan itu, bagi mengukuhkan peluang pekerjaan dalam kalangan pencari kerja, adalah penting untuk membina dan menyelaraskan kemahiran tersebut secara konsisten mengikut keperluan semasa pasaran kerja yang dinamik. - DagangNews.com








