Ikhlas mudahkan penumpang bayar zakat dalam penerbangan AirAsia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ikhlas mudahkan penumpang bayar zakat dalam penerbangan AirAsia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 April - Platform gaya hidup patuh syariah Capital A, Ikhlas Com Travel Sdn Bhd melancarkan 'Zakat di Langit' untuk memudahkan umat Islam membayar zakat termasuk zakat fitrah dalam penerbangan pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

 

Penumpang AirAsia boleh membuat bayaran zakat fitrah secara tunai kepada anak-anak kapal yang mewakili Ikhlas dengan pilihan untuk disalurkan kepada Pusat Pungutan Zakat seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman (LZNK), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) atau Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas, Ikhlas Kamarudin berkata, pihaknya diberi amanah oleh badan-badan zakat tersebut sebagai rakan usaha sama untuk membantu meningkatkan jumlah kutipan zakat mereka demi kebaikan ummah.

 

“Sebagai ejen kutipan zakat berlesen, kami diberi kebenaran untuk mengutip semua jenis zakat menerusi semua platform Ikhlas termasuk aplikasi mudah alih, laman web dan alternatif lain termasuk kaedah terbaharu yang kami lancarkan dengan usahasama AirAsia iaitu Zakat di Langit," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman pula berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan usaha sama bersama ejen kutipan zakat seperti Ikhlas dalam membantu meningkatkan kutipan zakat. 

 

Katanya, pihaknya percaya platform Ikhlas mempunyai pengguna dan tarikan tersendiri untuk membantu meningkatkan kesedaran masyarakat. 

 

"Kami juga perlu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dengan mempelbagaikan saluran bayaran zakat," katanya.

 

 

ikhlas

 

 

Zakat di Langit merupakan inisiatif terbaharu Ikhlas untuk memudahkan penumpang Islam membuat bayaran zakat dalam penerbangan AirAsia. 

 

Ikhlas merupakan ejen yang diiktiraf dan diberi lesen oleh pelbagai institusi zakat negeri untuk mengutip semua kategori bayaran zakat.

 

Di bawah inisiatif tersebut, IKHLAS bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan AirAsia untuk membantu umat Islam membayar zakat dalam penerbangan. 

 

Penumpang yang ingin membuat bayaran boleh mendapatkan bantuan anak kapal yang bertugas dengan mengisi borang yang akan dikumpul bersama bayaran zakat sebelum tiba ke destinasi masing-masing.

 

Sehingga kini, Ikhlas berjaya mengumpul kutipan zakat lebih RM5.2 juta sejak mula memperkenalkan perkhidmatan itu pada 2020. 

 

Khusus untuk para pembayar zakat, Ikhlas menawarkan mata ganjaran airasia bagi setiap transaksi, termasuk peluang memenangi pakej Ikhlas Umrah.

 

Ikhlas Zakat menyediakan khidmat dalam dan luar talian untuk memudahkan proses pembayaran zakat fitrah (negeri terpilih sahaja), zakat pendapatan, harta, perniagaan, wang simpanan, saham, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)/Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), emas dan perak juga qadha zakat. - DagangNews.com