KUALA LUMPUR 8 Mac - IHH Healthcare Bhd telah menyelesaikan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Bedrock Healthcare Sdn Bhd (BHSB), pemilik Pusat Perubatan Timberland (TMC) di Kuching, Sarawak yang bernilai RM245 juta.
Terdahulu, pengambilalihan berkenaan diumumkan pada Ogos 2023 dan dilaksanakan menerusi anak syarikatnya, Pantai Holdings Sdn Bhd, yang memeterai perjanjian pembelian saham dengan Saravita Holdings Sdn Bhd dan sembilan pengasas individu.
TMC merupakan pusat perubatan swasta yang mempunyai 82 katil dan telah beroperasi hampir tiga dekad.
ARTIKEL BERKAITAN: IHH Healthcare ambil alih keseluruhan pegangan Bedrock Healthcare dalam Pusat Perubatan Timberland berharga RM245 juta
Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Jean-François Naa menyatakan bahawa dengan selesainya pengambilalihan TMC, IHH kini menumpukan pada rancangan masa depan.
Ini termasuk memperkembang operasi TMC melalui penubuhan hospital tertiari 200 katil baharu di tengah bandar Kuching, menangani keperluan tempatan dan memanfaatkan pasaran pelancongan perubatan yang semakin berkembang dari Indonesia.

"Kedekatan geografi Sarawak dengan Indonesia menjadikan kami destinasi penjagaan kesihatan yang ideal, dengan penerbangan terus dan berpatutan tersedia antara negara," tambah Naa.
TMC kini menawarkan rangkaian komprehensif bagi perkhidmatan perubatan dan pembedahan, merangkumi kardiologi, nefrologi, onkologi, gastroenterologi, pembedahan am, pembedahan ortopedik, pembedahan hepatologi, ortopedik dan urologi.
Dengan kejayaan pemerolehan TMC, IHH telah mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu penyedia penjagaan kesihatan swasta terulung di Malaysia, dengan rangkaian hospitalnya terdiri daripada 11 Hospital Pantai, empat Hospital Gleneagles dan Pusat Perubatan Prince Court.
Pada pukul 2:59 petang ini, saham IHH telah naik 4 sen atau 0.7% kepada RM6.04 dengan permodalan pasarannya bernilai RM53.2 bilion. - DagangNews.com








