IHH Healthcare lancar klinik bergerak bagi tingkatkan akses penjagaan kesihatan kepada tenaga kerja industri | DagangNews Skip to main content

IHH Healthcare lancar klinik bergerak bagi tingkatkan akses penjagaan kesihatan kepada tenaga kerja industri

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt - IHH Healthcare Malaysia menerusi penyedia penjagaan kesihatan bersepadu, Pusat Perubatan Twin Towers melancarkan Klinik Bergerak Twin Towers dalam usaha menyediakan perkhidmatan kesihatan dan keselamatan pekerjaan komprehensif serta mengubah landskap penjagaan kesihatan dalam kalangan tenaga kerja industri.

 

Dengan memberi tumpuan teliti terhadap kesihatan dan keselamatan pekerjaan, Pusat Perubatan Twin Towers menyediakan perkhidmatan kepada industri minyak dan gas, penerbangan, korporat dan pembuatan selama 25 tahun, seterusnya menjana reputasi penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan  berkualiti tinggi. 

 

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia suatu keperluan untuk memberi penekanan terhadap peranan penting yang dimainkan pekerja industri iaitu tenaga penggerak di sebalik kemajuan ekonomi negara. 

 

Katanya, pemeriksaan kesihatan pekerjaan sememangnya penting untuk pengesanan awal dan intervensi yang tepat pada masanya untuk pekerja industri yang sentiasa terdedah kepada bahaya daripada segi kesihatan. 

 

"Kami gembira melihat inisiatif inovatif seperti Klinik Bergerak Twin Towers yang memberi penekanan kepada kepentingan dan relevansi inisitiaf ini dalam menjaga kesihatan tenaga kerja," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Jean-François Naa berkata, pihaknya memahami kepentingan daripada segi kemudahan terutamanya dalam penjagaan kesihatan. 

 

"Dengan membawa perkhidmatan kami terus kepada anggota masyarakat, kami mengorak langkah ke hadapan dalam kemudahan akses penjagaan kesihatan dan memastikan penjagaan berkualiti dicapai di setiap sudut komuniti. 

 

 

ihh

 

 

"Inisiatif penting ini juga membuka jalan untuk kami mentakrifkan semula penyediaan penjagaan kesihatan pada masa hadapan yang menyaksikan peralihan daripada penjagaan hospital berpusat kepada penjagaan di rumah," katanya.

 

Klinik Bergerak Twin Towers bertujuan merapatkan jurang aksesibiliti dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan di tempat kerja, dengan menyediakan rumusan komprehensif bagi membantu syarikat menangani masalah berkaitan kesihatan secara proaktif.

 

Ia akan diuruskan sebuah pasukan teras terdiri daripada doktor kesihatan pekerjaan, pasukan jururawat, seorang juru x-ray dan pembantu tadbir serta dilengkapi dengan satu unit sinaran-X, katil pemeriksaan kesihatan dan kawasan khusus untuk rundingan doktor dan ujian audiometri. 

 

 

ihh

 

 

Pelbagai perkhidmatan bakal ditawarkan termasuk pemeriksaan pra-pekerjaan, pengawasan perubatan, pemeriksaan kesihatan korporat atau pencegahan, penilaian untuk kembali bekerja dan ujian audiometri tahunan.

 

Dengan memahami kepentingan fleksibiliti dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan di tempat kerja, Klinik Bergerak Twin Towers akan beroperasi mengikut keselesaan pelanggan dan menyediakan perkhidmatan berdasarkan permintaan. - DagangNews.com