IGB REIT dijangka terus menjadi proksi kepada ekonomi domestik yang kian pulih dipacu kualiti aset yang kukuh – RHB Investment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IGB REIT dijangka terus menjadi proksi kepada ekonomi domestik yang kian pulih dipacu kualiti aset yang kukuh – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Julai - IGB REIT dijangka terus menjadi proksi kepada ekonomi domestik yang kian pulih memandangkan kualiti asetnya kukuh dipacu penyewaan penuh dan bahagian perolehan sewa yang lebih tinggi daripada purata.

 

RHB Investment berkata pembaharuan pajakan kekal tidak membimbangkan dengan kadar penghunian hampir 100% memandangkan pihak pengurusan IGB REIT sudah menumpukan kepada pembaharuan pajakan yang akan tamat tempoh pada awal 2024.

 

“Kami berpendapat bahawa IGB REIT akan terus mendapat manfaat daripada ekonomi domestik yang berdaya tahan. Semua pinjaman REIT tersebut juga pada kadar tetap 4.49% yang telah melindunginya daripada kenaikan kadar faedah sepanjang tahun lalu.

 

“Tekanan inflasi negara yang semakin berkurangan dan pasaran buruh yang bertambah baik adalah positif untuk pasaran runcit, tetapi kami menunggu butiran mengenai cadangan cukai mewah dan kesan yang mungkin timbul kepada jualan runcit,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata demikian susulan keputusan suku kedua tahun kewangan (2QFY23) IGB REIT semalam yang telah mencatatkan keuntungan RM81 juta, susut 3% tahun ke tahun (YoY).

 

Secara kumulatif, pendapatan separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) syarikat telah meningkat 5.1% YoY kepada RM177.4 juta.

 

“Keputusan 1H23 adalah selaras dengan jangkaan kerana IGB REIT merekodkan pertumbuhan hasil lebih kukuh YoY, tetapi melaporkan margin berkurang disebabkan kos utiliti lebih tinggi.

 

“Ini menyumbang 51% dan 49% daripada anggaran tahun penuh kami dan konsensus,” ujarnya.

 

Menurut RHB Investment, IGB REIT memiliki kualiti aset yang kukuh pada 2QFY23 dengan sewa bulanan kasar Mid Valley Megamall berjumlah RM16.27 setiap kaki persegi, peningkatan 9.7% YoY, manakala kadar sewa The Gardens Mall sebanyak RM15.29 setiap kaki persegi adalah peningkatan 17% YoY.

 

Bagi FY23, firma itu berkata tiada kebimbangan mengenai pembaharuan pajakan memandangkan pihak pengurusan telah menumpukan kepada pembaharuan pajakan yang akan tamat pada awal 2024 dan kedua-dua pusat membeli-belah pada dasarnya kekal diduduki sepenuhnya.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM1.91 seunit.

 

Pada waktu penulisan, saham IGB REIT tidak berubah pada RM1.65, memberikannya modal pasaran bernilai RM5.9 bilion. - DagangNews.com