KUALA LUMPUR 8 Mei - Icon Offshore Berhad telah memperoleh kontrak daripada Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) bagi penyediaan kapal tunda pengendalian sauh dengan anak kapal dan peralatan untuk perkhidmatan 24 jam.
Kontrak yang diterima melaui anak syarikatnya, Icon Offshore Group Sdn Bhd akan menyediakan perkhidmatan tersebut untuk menyokong dan menyelenggara pelantar penggerudian, pemasangan luar pesisir, tongkang derik, menunda dan kerja berlabuh yang diperlukan oleh PCSB semasa aktiviti penggerudian dan projek mereka.
Pada tahun ini, Icon telah menerima anugerah pesanan kerja pertama pada 27 Februari 2023 dan telah memulakan operasi pada 18 April 2023 mengikut sijil sewa kapal untuk lebih kurang 255 hari kapal.
“Kontrak ini adalah bukti kecekapan, kepakaran dan kapasiti Icon dalam memenuhi keperluan dan jangkaan pelanggan kami dengan prestasi operasi yang cemerlang,” kata Pengarah Urusan Icon, Datuk Seri Hadian Hashim dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menurut beliau, prospek kumpulan kekal positif dengan anugerah kontrak diperoleh baru-baru ini di samping perkembangan dalam sektor minyak dan gas.
“Kontrak ini akan menyumbang kepada pendapatan kumpulan dan menambah rekod prestasi cemerlang kami dalam segmen kapal sokongan luar pesisir,” tambahnya. -DagangNews.com







