i-Sinar, Pemerkasa lonjak semula perbelanjaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

i-Sinar, Pemerkasa lonjak semula perbelanjaan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 25 Mac - Kadar inflasi dijangka bertambah baik pada bulan-bulan akan datang terutama dengan pelbagai insentif dan bantuan yang disalurkan kerajaan.

 

Kebanyakan penganalisis menyemak semula unjuran inflasi dengan meningkat sekitar 1.6 hingga 3% tahun ini berikutan sentimen perbelanjaan pengguna yang bertambah baik. 

 

Malah, mereka juga menjangkakan tiada sebarang perubahan bagi kadar dasar semalaman (OPR) dengan kekal pada 1.75% untuk tahun ini.

 

MIDF Research menaikkan unjuran inflasi tahun ini kepada 2.3% berbanding 1.8% sebelum ini sejajar dengan jangkaan harga minyak mentah pada AS$59 setong dan harga minyak sawit mentah pada RM3,000 satu tan metrik bagi tahun ini. 

 

Unjuran ini dibuat berdasarkan perkembangan terbaharu dalam harga minyak mentah global yang menyaksikan Brent mencecah AS$70 setong. 

 

Harga komoditi ini dijangka berlegar pada paras AS$58 hingga AS$65 setong sekurang-kurangnya pada separuh pertama 2021 berikutan keputusan OPEC+ mengekalkan pengurangan pengeluaran sehingga Mei tahun ini akan terus merangsang kenaikan harga minyak mentah. 

 

 

Baca : Indeks Harga Pengguna pada Februari meningkat 0.1%

 

 

Firma penyelidikan itu berpendapat, perbelanjaan pengguna akan meningkat melalui pelbagai insentif kerajaan, dengan terbaharu, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion yang diumumkan minggu lalu.

 

Di bawah Pemerkasa, antara insentif disediakan termasuklah bayaran one-off sebanyak RM500 kepada B40 yang hilang pendapatan dan meningkatkan peruntukan bagi e-belia, program e-dompet dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). 

 

"Selain itu, pengeluaran i-Sinar menerusi Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara menyeluruh bagi pencarum yang kurang atau tidak terjejas dapat membantu meningkatkan perbelanjaan. 

 

"Pada masa sama, kejayaan pelancaran vaksin COVID-19 di negara ini secara tidak langsung akan meningkatkan sentimen. Pengguna juga akan mula berbelanja secara berhemah ekoran prospek pendapatan yang lebih baik," katanya dalam nota kajian. 

 

 

Sumber : MIDF Research

 

 

Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Februari 2021 meningkat 0.1% kepada 122.5 selepas setahun mengalami deflasi akibat pandemik COVID-19 dan kemerosotan harga minyak mentah. 

 

Kenaikan ini sebahagian besarnya didorong oleh harga bahan api runcit, yang menjejaki harga minyak global yang tinggi sejak November 2020. 

 

CGS-CIMB menjangkakan inflasi utama dijangka lebih tinggi beberapa bulan akan datang didorong kesan asas berkaitan pandemik COVID-19 meskipun kerajaan menambat harga runcit minyak bagi membantu mengurangkan tekanan kenaikan harga.

 

"Inflasi bahan api pula dijangka pulih pada Mac memandangkan harga pam meningkat 13.8 hingga 17.6% lebih tinggi berbanding setahun lalu. 

 

"Kami juga menjangkakan inflasi tenaga elektrik meningkat pada April dengan asas yang rendah memandangkan bil pengguna domestik mendapat diskaun antara April hingga Disember 2020 yang merupakan sebahagian daripada langkah rangsangan diumumkan kerajaan," katanya.

 

Firma itu berpandangan kenaikan tekanan harga pengguna sebahagian besar mencerminkan faktor sementara dan kesan asas seperti harga komoditi dan pemberian subsidi/diskaun sepanjang tahun lalu, yang dilihat tidak memberi sebarang risiko ketara kepada pendirian akomodatif Bank Negara Malaysia (BNM) dalam tempoh terdekat. 

 

Sehubungan itu, CGS-CIMB mengekalkan unjuran inflasi utama pada 1.6% tahun ini, kekal di bawah paras konsisten dengan kestabilan harga. 

 

"Malah, kami tidak menjangkakan sebarang perubahan pada OPR sepanjang tahun ini, sebaliknya normalisasi dasar monetari pada 2022," jelasnya. 

 

Sementara itu, UOB Malaysia lebih optimis terhadap pemulihan ekonomi dengan mengunjurkan inflasi tahun ini lebih tinggi sekitar 3% berbanding -1.1% pada 2020. 

 

Bagaimanapun, katanya, prospek itu bergantung kepada sejauh mana ketidaktentuan harga minyak global dengan Brent diunjur berlegar antara AS$60 hingga AS$70 setong tahun ini. 

 

"Namun, kami menjangkakan risiko terhadap inflasi utama akan diatasi dengan lanjutan pengecualian cukai penjualan untuk kenderaan penumpang dan potongan bil elektrik sehingga akhir Jun 2021 serta pengenalan semula harga siling petrol RON95 dan diesel," katanya. 

 

Kenanga Research pula melihat masih ada ruang untuk BNM mengurangkan lagi OPR tahun ini di sebalik prospek ekonomi yang positif. 

 

"Tetapi, kami menjangkakan tiada perubahan bagi kadar ini memandangkan beberapa langkah pemulihan telah diambil, antaranya melonggarkan sekatan pergerakan, pakej rangsangan Pemerkasa dan kemajuan dalam program vaksinasi COVID-19," katanya. 

 

Firma itu mengunjurkan inflasi akan meningkat kepada 1.8% tahun ini berbanding unjuran awal, 1.4% disokong harga komoditi yang tinggi dan program vaksin. 

 

"Tetapi, masih terdapat risiko penurunan dalam prospek inflasi ini terutama langkah-langkah mengekang penularan wabak COVID-19 masih berjalan dan pasaran buruh tempatan juga lemah," katanya. - DagangNews.com