KUALA LUMPUR 15 Feb - HSS Engineers Bhd. membuat penampilan sulung di Bangladesh dengan menyediakan perkhidmatan rundingan dan teknikal bagi Projek Kemudahan Persediaan Penambahbaikan Kesalinghubungan Kereta Api yang dibiayai oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) di Dhaka.
Ini menyaksikan syarikat pengurusan projek dan kejuruteraan itu menerusi syarikat sekutunya, HSS Integrated Sdn Bhd (HSSI) bersama rakan usaha sama, Oriental Consultants Global Co., Ltd., Japan (OCG) dan EGIS Rail S.A., France (EGIS) memeterai perjanjian kontrak dengan Bangladesh Railway, semalam.
Skop perkhidmatan HSSI dalam usaha sama itu bernilai AS$833,400 (RM3.6 juta) termasuk penyediaan kajian kebolehlaksanaan, reka bentuk terperinci dan anggaran kos serta penyediaan rancangan perniagaan untuk Bangladesh Railway.
Kontrak selama 30 bulan itu bermula hari ini dan dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) hingga 2026.
Naib Pengerusi Eksekutif HSS Engineers, Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam berkata, skop perkhidmatan dalam kontrak tersebut adalah sejajar dengan kemahiran dimiliki kumpulan dalam ruang pengangkutan bandar, terutamanya rangkaian kereta api.
Katanya, nilai kontrak sebanyak RM1.6 bilion memberi keterlihatan pendapatan kepada kumpulan bagi tempoh lima hingga lapan tahun akan datang.
"Pencapaian hebat ini mewakili hasil pertama untuk kumpulan sejak menandatangani kerjasama pilihan kami dengan OC Global pada Julai lalu, dan meletakkan kami di peta global dari segi kepakaran perundingan kejuruteraan bersama pakar lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Memandangkan permintaan pengangkutan barang dan penumpang yang berkembang pesat di Bangladesh, kerajaan negara itu bersama ADB telah memulakan program penambahan kapasiti Bangladesh Railway, dari segi kapasiti jajaran, keselamatan operasi, penambahbaikan penyelenggaraan dan penjimatan kos operasi.
Objektif utama Bantuan Teknikal adalah untuk menyelesaikan semua tugas persediaan yang diperlukan termasuk Kajian Kebolehlaksanaan, Reka Bentuk Terperinci, Penyediaan Dokumen Tender beserta kerja-kerja persediaan lain yang berkaitan untuk kesediaan 11 sub-projek untuk pelaksanaan. - DagangNews.com








