HSS Engineers sasar raih kontrak baharu bernilai RM500 juta tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HSS Engineers sasar raih kontrak baharu bernilai RM500 juta tahun ini

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Jun - HSS Engineers Bhd. menyasarkan untuk memperoleh kontrak baharu bernilai RM500 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

Ketika ini penyedia khidmat runding pengurusan projek dan kejuruteraan itu sedang membida projek bernilai RM375 bilion membabitkan sektor rel, jalan raya dan air bagi meningkatkan nilai kontrak semasa berjumlah RM516.7 juta.

 

Naib Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Kuna Sittampalam berkata, selain daripada membida tender bagi projek dalam kepakaran teras dalam sektor rel, jalan raya dan air, kumpulan juga berminat dengan peluang yang muncul daripada penswastaan jalan raya, tebatan banjir, sektor digital dan teknologi.

 

Katanya, strategi mempelbagaikan hasil kumpulan juga membuahkan hasil, kerana ia mewujudkan pelbagai sumber pendapatan daripada sektor pertumbuhan tinggi yang akan mendorong prospek masa depan.

 

"Ini termasuklah penyertaan sulung kami dalam sektor digital dan teknologi, kerana kami dilantik oleh Digital Nasional Bhd. (DNB) untuk menyediakan perkhidmatan perundingan bagi pelaksanaan infrastruktur dan rangkaian 5G Malaysia.

 

"Kami juga berharap dapat memainkan peranan dalam menyokong penubuhan pusat data di negara ini," katanya dalam kenyataan sempena mesyuarat agung tahunan ke-7 hari ini.

 

Setakat tahun ini, kumpulan telah memperoleh kontrak daripada Malaysia Airports Holding Bhd. (MAHB) untuk menjadi perunding pemeriksaan bebas bagi pakej reka dan bina untuk cadangan pembangunan hangar MRO dan bangunan perindustrian di Lapangan Terbang Sultan Abdul Shah.

 

Selain itu, ia juga menerima surat pelantikan daripada Mass Rapid Transit Corp. untuk menyediakan perkhidmatan perundingan semakan untuk projek MRT3.

 

Di peringkat pengembangan serantau, beliau memberitahu, kumpulan telah membentuk kerjasama strategik dengan perunding Jepun terkemuka untuk mengambil bahagian dalam projek yang dibiayai oleh Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan projek lain di negara ini.

 

"Dalam hal ini, kami telah memulakan perkhidmatan penyeliaan untuk projek Penyambungan Kereta Api Komuter Utara-Selatan (NSCR-EX) di Filipina melalui rakan kongsi Jepun kami, Oriental Consultants Global dan akan memulakan perkhidmatan penyeliaan untuk Chennai Metro Fasa 3 dengan Nippon-Koei pada suku keempat tahun ini," tambahnya. 

 

Sementara itu, dalam AGM tersebut, kesemua resolusi yang dibentangkan telah diluluskan pemegang saham. - DagangNews.com