KUALA LUMPUR 6 Julai - HSBC Amanah dan Ikano Centres menjalin kerjasama bagi mengatur pembiayaan lestari baharu di Malaysia.
Kemudahan pembiayaan hijau akan membantu Ikano Centres membangunkan hab peruncitan serantaunya secara lestari di Johor yang meliputi Pusat Beli-Belah Toppen dan IKEA Tebrau.
Hasil daripada kemudahan pembiayaan semula akan menyumbang kepada projek semasa yang akan menyokong Ikano Centres mempercepatkan kemajuan usahanya ke arah kelestariannya.
Ikano Centres kini beroperasi dan mengurus 3.76 juta kaki persegi di kawasan boleh pajak kasar di empat pusatnya di Malaysia.
Toppen yang dibuka di Johor pada 2019, merupakantempat pertemuan berkonsep terbuka yang menarik orang ramai dari seluruh Malaysia Selatan dan Singapura ke ruang runcit dan berbumbung dengan taman yang unik, gelanggang sukan, taman air dan pawagam.
Pada penghujung tahun ini, Toppen akan melanjutkan konsep 'retailtainment'nya dengan parkir berbilang tingkat tambahan yang menampilkan kawasan bumbung seluas 50,000 kaki persegi dengan ruang runcit baharu.
Kemudahan pembiayaan hijau daripada HSBC akan menyokong rancangan pembangunan berterusan Toppen untuk menyediakan pengalaman pelanggan yang hebat dan memastikan kedudukannya sebagai pusat dan hab komuniti di Johor Bahru.

Ketua Perbankan Global HSBC Malaysia, Christina Cheah berkata, kerjasama HSBC dengan Ikano Centres untuk kemudahan pembiayaan hijau baharu di Malaysia merupakan bukti komitmen berterusan bank untuk menyokong peralihan kepada ekonomi rendah karbon.
"Pelanggan kami kini semakin memberi keutamaan kepada kelestarian dalam mencapai aspirasi peralihan dan pertumbuhan perniagaan mereka.
"Kami menjangka ia akan kekal sebagai faktor penting ketika membuat keputusan perniagaan, terutamanya ketika negara mempercepat tumpuannya untuk menjadi neutral karbon menjelang tahun 2050," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Ikano Retail Asia Tenggara dan Mexico, Christian Roejkjaer pula berkata, pihaknya berbesar hati kerana HSBC Amanah merealisasikan kemudahan pembiayaan hijau itu.
"Kami sememangnya berusaha seiring dengan perjalanan kelestarian dan berhasrat untuk melakukan lebih banyak lagi. Itulah sebabnya kami amat gembira dapat bekerjasama dengan sebuah bank yang mempunyai komitmen yang sama untuk membina perniagaan dan masyarakat yang berdaya tahan," katanya. - DagangNews.com








