Hong Leong Bank rangkul dua kategori di Anugerah Kecemerlangan e-Pembayaran 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hong Leong Bank rangkul dua kategori di Anugerah Kecemerlangan e-Pembayaran 2023

(Dari kiri) Pengerusi Lembaga PayNet, Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin; Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi (Pembangunan Perniagaan & E-Dagang) HLB, Albert Tho; Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi (Merchant Acquiring) HLB, Enoch Chhabra; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 September - Hong Leong Bank (HLB) dinobatkan sebagai Bank e-Pembayaran Terbaik dan Bank Pemeroleh e-Bayaran Terbaik di Anugerah Kecemerlangan e-Pembayaran (MEEA) 2023 daripada Payments Network Malaysia (PayNet).

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, bank itu menjelaskan bahawa anugerah Bank Pemeroleh e-Bayar Terbaik mengiktiraf prestasinya yang telah mencatat jumlah transaksi tertinggi dan pertumbuhan transaksi sebanyak 86% dari 2021 hingga 2022 menerusi rangkaian perkhidmatan yang menyeluruh, termasuk MyDebit, DuitNow QR, FPX, DOBW, MyDebit CNP, JomPAY, DirectDebit, RTP dan eMandate.

 

Sementara itu, anugerah Bank e-Pembayaran Terbaik diraih selepas bank terbabit mencatat pertumbuhan tertinggi jumlah transaksi digital dari 2021 hingga 2022, dengan transaksi dihantar dan diterima masing-masing melonjak 24% dan 47%.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata berpandukan janji jenama, Built Around You (Dibina Di Sekitar Anda), bank itu mengutamakan pendekatan berpusatkan pelanggan dalam mencari cara untuk menjadikan transaksi kewangan harian lancar, selamat dan mudah untuk pelanggan.

 

 

Kevin Lam
Kevin Lam

 

 

“Melalui penyediaan rumusan digital yang diperibadikan, kami dapat menyokong pelanggan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam transformasi digital dan tanpa tunai mereka, membolehkan mereka menyediakan e-pembayaran berdasarkan keperluan dan keutamaan khusus, sekali gus membantu mereka melaksanakan infrastruktur perbankan digital dalam operasi perniagaan.

 

“Salah satu contoh ini ialah inisiatif HLB@Kampung kami, yang telah mengubah bandar pelancongan Sekinchan, Selangor menjadi Kampung Tanpa Tunai pertama bersama PayNet.

 

“Melalui program ini, kami melancarkan DuitNow QR Codes dan terminal pembayaran semua dalam satu kepada lebih 200 perniagaan tempatan, membantu mereka mengubah operasi mereka dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pembayaran digital, terutamanya daripada pelancong luar bandar,” ujar beliau sambil menambah inisiatif tersebut kini diperluaskan ke bandar kecil di seluruh negara.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi HLB, Andrew Jong berkata momentum perbankan digital yang kukuh adalah hasil daripada usaha menangani keperluan khusus pelanggan dengan inisiatif, penyelesaian dan perkongsian strategik yang betul.

 

“Apa yang mendorong pertumbuhan kami adalah kefahaman terhadap rumusan perbankan digital yang perlu ketangkasan dan dinamik, boleh disesuaikan dan sangat bermanfaat kepada individu dan perniagaan yang akan menggunakannya.

 

“Kami mengambil kira sikap pelanggan, kekerapan lawatan, pangkalan pengguna, jenis perniagaan, cara perniagaan menjalankan operasinya, dan juga bahasa pilihan semasa mereka bentuk rumusan digital kami untuk memudahkan pelanggan,” katanya. - DagangNews.com