Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Nov. - Honda Malaysia memanggil semula 2,784 unit kenderaan model Accord 1999 dan CR-V 2000 untuk menggantikan inflator beg udara Takata di bahagian pemandu.
Honda Malaysia dalam satu kenyataan berkata, langkah itu seiring dengan keputusan penarikan semula Honda global Non-Azide Driver Airbag Inflator (NADI).
"Syarikat percaya penarikan semula produk berkenaan adalah perlu sebagai langkah pencegahan untuk mengatasi kemungkinan inflator beg udara hadapan Takata mengalami tekanan dalaman yang berlebihan hingga menyebabkan beg udara tersebut gagal berfungsi dengan baik atau pecah.
"Inflator beg udara Takata akan diganti dengan inflator beg udara Autoliv. Honda Malaysia memberi keyakinan bahawa model semasa adalah tidak terlibat dalam penggantian produk berkenaan," jelas Honda Malaysia.

Mengulas lanjut, Honda Malaysia memberitahu, hingga ini masih tiada laporan di Malaysia berkaitan kajadian atau kecederaan yang disebabkan oleh beg udara hadapan bahagian pemandu Takata pada kedua-dua model kenderaan tersebut.
Pelanggan yang terlibat dengan penggantian produk berkenaan akan diberitahu melalui surat pemberitahuan yang merangkumi perincian penarikan balik produk.
Dalam pada itu, Honda Malaysia turut menggesa semua pelanggan yang terlibat untuk menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat janji temu selepas menerima pemberitahuan menggantikan inflator beg udara tersebut.
"Syarikat juga menyeru kepada orang ramai yang mempunyai saudara-mara atau rakan-rakan yang memiliki kedua-dua model berkenaan untuk segera menghubungi Honda Malaysia untuk tujun tersebut.
"Syarikat meminta semua pelanggan yang terlibat untuk membuat janji temu terlebih dahulu bagi memastikan proses penggantian produk dapat dijalankan dengan lancar dan pantas," tambah Honda Malaysia lagi.
Pelanggan yang terlibat juga diminta untuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan membersihkan tangan ketika mengunjungi mana-mana tapak pengedar.
Tambah Honda Malaysia, penggantian produk berkenaan adalah percuma dan kesemua kos berkaitan dengan penggantian akan ditanggung oleh pihak Honda Malaysia. - DagangNews.com








