KUALA LUMPUR 5 Jan - Honda Malaysia merekodkan jualan lebih daripada 80,200 unit pada 2022, sekaligus mencapai sasaran jualannya sebanyak 80,000 unit.
Jualan itu juga menyaksikan peningkatan sebanyak 51% berbanding jumlah jualan tahun 2021.
Daripada jualan keseluruhan, Mac 2022 mencatatkan jualan tertinggi dengan lebih daripada 10,500 unit terjual.
Pencapaian jualan luar biasa pada tahun 2022 membolehkan Honda Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai jenama kereta nombor satu dalam Segmen Kenderaan Penumpang Bukan Nasional untuk 9 tahun berturut-turut sejak 2014.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, 2022 merupakan tahun yang mencabar dengan kekurangan cip global dan bencana banjir yang telah menjejaskan pengeluaran kereta mereka.
Beliau berkata, dengan semangat mencabar, Honda Malaysia beralih ke gear yang lebih tinggi pada 2022 dan melepasi sasaran jualan dengan sokongan padu daripada semua pihak berkepentingan.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan dan pengedar kami kerana sokongan tidak berbelah bahagi terhadap jenama Honda, serta Kerajaan Malaysia untuk lanjutan pengecualian cukai jualan.

"Kami bekerjasama rapat dengan pembekal dan pengedar untuk memastikan penghantaran tepat pada masanya untuk pelanggan, terutamanya mereka yang menempah kereta mereka semasa tempoh pengecualian cukai jualan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, prestasi jualan 2022 yang cemerlang adalah menerusi pelancaran Civic pada Januari.
Untuk terus mencipta keterujaan dalam pasaran, Honda Malaysia melancarkan HR-V pada Julai, yang meningkatkan bar dalam segmen SUV kompak dan merupakan salah satu daripada tiga penyumbang utama kepada jualan keseluruhan Honda di negara ini.
Syarikat mengakhiri tahun 2022 dengan cemerlang dengan pelancaran Civic e:HEV RS pada bulan November, yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pasaran.

Kereta Honda terlaris pada 2022 adalah model yang paling dicari dalam segmen B, City yang menyumbang 36% kepada keseluruhan jualan syarikat. City Hatchback dan HR-V ialah antara tiga model berprestasi terbaik pada 20% dan 14% daripada jumlah jualan.
Dari segi jualan serantau, wilayah tengah merupakan penyumbang tertinggi sebanyak 51%, diikuti selatan dan utara masing-masing pada 19% dan 17%. - DagangNews.com








