Hock Seng Lee akan dinyah senarai daripada Bursa Malaysia, 26 Mei ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hock Seng Lee akan dinyah senarai daripada Bursa Malaysia, 26 Mei ini

KUALA LUMPUR 23 Mei - Hock Seng Lee Bhd. (HSL) akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia berkuat kuasa Khamis, 26 Mei, menurut makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Ia berikutan perancangan Hong Seng Lee Enterprise Sdn. Bhd. (HSLE) untuk menjadikan kumpulan itu sebagai syarikat persendirian pada RM1.35 sesaham.

 

Tawaran pengambilalihan itu pertama kali diumumkan pada 17 Februari lalu membabitkan HSLE, dengan penawar utama bersama terdiri daripada Datuk Yu Chee Hoe, Tang Sing Ngiik, Vincent Yu Yuong Yih dan Tony Yu Yuong Wee.

 

Berdasarkan peraturan pengambilalihan, HSLE perlu mendapatkan tahap penerimaan sebanyak 96% untuk mencetuskan pengambilalihan wajib bagi semua baki saham yang tidak dimiliki oleh tawaran itu.

 

Baca : HLIB saran pelabur terima tawaran pengambilalihan Hock Seng Lee

 

Dalam pekeliling bertarikh 28 Mac, penasihat bebas, Mercury Securities Sdn. Bhd. memberitahu pemegang saham bahawa tawaran itu 'tidak adil' kerana harga tawaran adalah antara 30.77% dan 31.82% kurang daripada anggaran nilai sesaham HSL antara RM1.95 dan RM1.98, berdasarkan penilaian jumlah bahagian.

 

Namun begitu, Mercury Securities berkata tawaran itu adalah 'munasabah' kerana ia akan memberi peluang kepada pemegang saham minoriti untuk keluar daripada syarikat kejuruteraan marin dan pembinaan yang berpangkalan di Sarawak itu, yang mana sahamnya sukar untuk dicairkan.

 

Dalam nota kajian bertarikh 18 Februari lalu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) menasihati pelabur supaya menerima tawaran pengambilalihan HSL pada RM1.35 sesaham.

 

Perkembangan itu dinilai positif kerana tawaran harga semasa itu adalah melebihi 25% daripada harga sasaran mereka sebelum ini pada RM1.08. - DagangNews.com