KUALA LUMPUR 3 Okt - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan pertumbuhan pinjaman meningkat menjelang akhir tahun ini seiring dengan kestabilan kadar dasar semalaman (OPR) untuk baki 2023.
Firma penyelidikan itu berkata, lonjakan pertumbuhan itu akan meningkatkan jumlah pertumbuhan pinjaman setahun penuh kepada 4.5% hingga 5% untuk 2023.
Katanya, data Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan pertumbuhan pinjaman kekal stabil pada paras 4.2%.
Bagi segmen isi rumah, pertumbuhan adalah berasaskan semua sub-segmen manakala bagi segmen perniagaan, ia diterajui oleh modal kerja dan pinjaman harta bukan kediaman.
"Secara keseluruhan, sistem pertumbuhan pinjaman sedikit di bawah jangkaan tahun penuh kami sebanyak 4.5% hingga 5%, tetapi kami menjangkakan peningkatan pada lewat separuh kedua 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
HLIB Research berkata, ganjaran risiko semasa dilihat lebih seimbang kerana tiada pemangkin positif baharu untuk merangsang harga saham bank menjadi lebih tinggi.
“Selain itu, kami mengunjurkan keuntungan sektor 2024 dan 2025 untuk berkembang pada kadar yang lebih perlahan, masing-masing 5% dan 4%, berbanding 13% pada 2023 kerana FBM KLCI dilihat meningkat pada lebih cepat 8% pada 2024,” katanya.
Firma itu menjangkakan pertumbuhan yang kurang memberangsangkan bagi 2024 hingga 2025 adalah disebabkan margin faedah bersih (NIM) sektor itu tidak dapat pulih dengan bermakna, pertumbuhan pendapatan bukan faedah menjadi perlahan dan ketiadaan penghapusan semula kos kredit bersih.
"Kami mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor perbankan," katanya. - DagangNews.com








