KUALA LUMPUR 16 Feb - Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal tinggi dalam tempoh beberapa bulan akan datang, sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama 2022 (1H).
Ini membolehkan Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perladangan.
Penganalisisnya, Chye Wen Fei menyemak semula harga MSM lebih tinggi bagi tahun ini kepada RM4,300 satu tan metrik berbanding RM3,500 satu tan metrik sebelum ini.
Katanya, kenaikan ini disebabkan situasi bekalan minyak sayuran yang masih ketat (termasuk minyak sawit), dilihat akan terus menyokong harga MSM beberapa bulan akan datang.
"Bagi 2023 hingga 2024 pula, kami turut menaikkan unjuran harga MSM kepada RM3,300 satu tan metrik berbanding RM2,900 sebelum ini.
"Ini kerana kami percaya pemulihan dalam pengeluaran minyak sawit akan mengambil masa yang lebih lama daripada jangkaan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut beliau, prospek pengeluaran minyak jagung dan kacang soya yang lemah dan langkah kerajaan Indonesia memperluaskan permit eksport bagi semua produk minyak sawit termasuk derivatif berkuatkuasa 15 Februari 2022 dilihat akan terus menganggu rantaian bekalan minyak sawit.
Bagaimanapun, tambahnya, menjangkaui separuh pertama 2022, pemulihan dalam minyak sayuran bergantung kepada beberapa ketidaktentuan.
"Antara ketidaktentuan ini termasuklah kemasukan pekerja asing ke Malaysia dan kenaikan harga baja, menyebabkan penanam (terutama pekebun kecil) mengurangkan penggunaan baja, yang boleh menjejaskan pemulihan pengeluaran hasil," jelasnya.
Setakat ini, HLIB mengekalkan unjuran pendapatan, harga sasaran (TP) dan penarafan bagi syarikat perladangan yang mencerminkan harga MSM yang tinggi anggaran kos pengeluaran dalam laporan kewangan (mulai 17 Februari ini).
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap IOI Corp. Bhd., Kuala Lumpur Kepong Bhd. dan Sime Darby Plantation Bhd. dengan TP masing-masing pada RM4.35, RM25.33 dan RM4.48.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Sime Darby Plantation, Wen Fei berkata, perkembangan itu dilihat positif kerana ia mencerminkan usaha proaktif kumpulan untuk menyelesaikan isu sekatan yang dikenakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS).
"Di samping itu, kami ambil perhatian bahawa CBP AS telah terlibat dengan kerajaan dan industri di Malaysia berhubung dakwaan buruh paksa dan akan meningkatkan perbincangan untuk menangani isu tersebut.
"Dalam hal ini, kami percaya langkah tersebut akan membuka jalan penyelesaian dalam isu dakwaan buruh paksa ini," tambahnya.
Semalam, Sime Darby Plantation mengumumkan beberapa beberapa perubahan dan menambah baik struktur tadbir urus, dasar dan prosedur bagi memastikan kesejahteraan pekerja buruh sentiasa terpelihara.
Syarikat gergasi perladangan ini akan membayar balik yuran pengambilan kepada pekerja asing semasa dan bekas pekerjanya pada 17 Februari 2022 berjumlah RM82.8 juta, mewujudkan Prosedur Pengambilan Bertanggungjawab (RRP) yang ditambah baik dan melaksanakan proses baharu untuk membolehkan dialog yang lebih baik dengan pekerja. - DagangNews.com








