KUALA LUMPUR 18 Feb - Hong Leong Investment Bank (HLIB) menasihati pelabur supaya menerima tawaran pengambilalihan Hock Seng Lee Bhd. (HSL) pada RM1.35 sesaham.
Penganalisisnya, Edwin Woo berkata, perkembangan itu dinilai positif kerana tawaran harga semasa itu adalah melebihi 25% daripada harga sasaran mereka sebelum ini pada RM1.08.
Pada RM1.35, katanya, penilaian HSL adalah baik bagi tahun kewangan 2021 (FY21)/FY22/FY23 dengan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 20.6x/15.0x/13.6x
"Ia juga mencerminkan 23% premium berbanding dagangan gandaan P/E Ondeks Pembinaan Kuala Lumpur yang kami anggap penilaian diperluaskan, dengan pertimbangan HSL sebagai syarikat kontraktor bermodal kecil," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam pengumuman semalam, HSL menerima notis tawaran pengambilalihan sukarela tanpa syarat untuk memperoleh semua baki saham biasa dalam HSL yang belum dimiliki oleh penawar muktamad bersama (15.8%).
Ia terdiri daripada Datuk Yu Chee Hoe, Tang Sing Ngiik, Vincent Yu Yuong Yih dan Tony Yu Yuong Wee, untuk tawaran tunai sesaham RM1.35.
Penawar muktamad bersama setakat ini memiliki 84.2% pegangan dalam syarikat. Tawaran itu adalah tanpa syarat pada tahap penerimaan minimum kerana penawar bersama mempunyai lebih 50% kepentingan.
Menurut Woo, secara dasarnya, segmen pembinaan masih dibelenggu pelbagai risiko iaitu kos bahan yang tinggi, kekurangan buruh dan ketidakstabilan politik.
"Walaupun kami menjangkakan pelaksanaan pendapatan bertambah baik secara beransur-ansur dan aliran kerja kembali pulih di Sarawak pada masa akan datang, namun, kami percaya keyakinan tersebut lebih daripada harga tawaran RM1.35," tambahnya.
Setakat 12.27 tengah hari ini, harga saham HSL menokok 1 sen atau 0.75% kepada RM1.35 dengan 696,000 saham diniagakan. - DagangNews.com








