HLIB positif dengan 3 kontrak baharu, optimis prospek Dayang lebih kukuh pada 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB positif dengan 3 kontrak baharu, optimis prospek Dayang lebih kukuh pada 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif terhadap perolehan tiga kontrak oleh Dayang Enterprise Holdings daripada Petronas Carigali dan prestasi kumpulan itu dijangka kekal kukuh pada 2023.

 

Firma penyelidikan itu positif terhadap tiga kontrak tersebut untuk penyediaan bot kerja penginapan melibatkan Dayang Zamrud, Dayang Opal dan Dayang Ruby yang diumumkan di Bursa Malaysia semalam.

 

Tempoh kontrak tersebut adalah kira-kira 214 hari berkuat kuasa mulai 3 Februari 2023 dengan pilihan lanjutan tambahan 60 hari.

 

“Kami tekankan bahawa tiada nilai kontrak didedahkan dan oleh itu kami tidak dapat menjalankan sebarang analisis terperinci pada ketika ini. 

 

"Tiada perubahan dibuat kepada anggaran kerana kami memilih untuk menjadi konservatif,” ulas firma tersebut di dalam nota hari ini.

 

Selain itu, HLIB menjangkakan prestasi kumpulan kekal kukuh pada tahun ini berikutan semakan terhadap beberapa faktor seperti pesanan kerja, nilai kontrak dan unjuran kadar penggunaan kapal campuran dan kadar sewaan harian (DCR).

 

Menurut HLIB, pesanan kerja bertambah baik daripada syarikat minyak serantau di tengah-tengah kenaikan harga minyak.

 

Tambahnya, terdapat penambahbaikan nilai kontrak kerja secara menyeluruh untuk kebanyakan rantaian nilai pembekal perkhidmatan sebanyak lebih daripada 15% untuk kerja penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) dan perkhidmatan bersepadu ‘hook-up and commissioning (i-HUC).

 

Selain itu, unjuran kadar penggunaan kapal campuran dan DCR juga meningkat untuk Dayang dan Perdana Petroleum pada tahun kewangan 2023. 

 

“Kami percaya bahawa tahun ini akan menjadi tahun keemasan bagi penyedia perkhidmatan minyak dan gas yang ketinggalan berikutan persekitaran harga minyak yang tinggi untuk tahun lalu,” jelasnya.

 

Oleh itu, HLIB mengekalkan saranan ‘beli’ dengan mengekalkan harga sasaran (TP) pada RM1.87 dan Dayang ialah salah satu pilihan utama firma tersebut untuk sektor minyak dan gas. -DagangNews.com