KUALA LUMPUR 16 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research tidak melihat potensi keciciran atau perubahan yang dikesan untuk senarai saham patuh syariah yang akan dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada 24 November ini.
Firma itu mendapati saham patuh syariah dalam semakan sebelum ini yang mempunyai pelanggaran dalam nisbah tunai utama terkini ialah Bermaz Auto Bhd, Frontken Corp Bhd, Hartalega Holdings Bhd, Kossan Rubber Industries Bhd, SLP Resources Bhd, Star Media Group Bhd dan Uchi Technologies Bhd.
Sementara itu, saham dengan pelanggaran nisbah hutang utama ialah Pharmaniaga Bhd, TSH Resources Bhd, Wah Seong Corp Bhd dan WCT Holdings Bhd.
Penganalisisnya, Jeremy Goh berkata, selepas semakan dijalankan dengan pengurusan masing-masing, kesemuanya mempunyai ramuan mencukupi bagi jumlah tunai/hutang utama adalah berasaskan syariah untuk memastikan pematuhan syariah.
Untuk mengenal pasti saham yang mungkin tercicir atau berpindah dalam semakan senarai patuh syariah, beliau melihat saham syarikat di bawah liputannya dan memberi tumpuan terutamanya kepada nisbah kewangan.
"Bank, pembuat bir, perjudian, tembakau, media dan REIT telah dialih keluar kerana sifat perniagaan menghalang mereka daripada mematuhi syariah. Dengan pengecualian ini, sejumlah 95 saham di bawah liputan kami telah disaring.
"Nisbah hutang/aset dan tunai/aset mereka dikira pada peringkat utama, dan jika terdapat sebarang pelanggaran ditemui (iaitu lebih 33%), kami menghubungi pihak pengurusan untuk mendapatkan pecahan antara bahagian konvensional dan syariah.
"Kemudiannya, nisbah akan dikira semula secara konvensional (iaitu bahagian syariah dikecualikan) untuk melihat sama ada paras ambang telah dilanggar," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam menentukan status saham syariah, Majlis Penasihat Syariah SC menggunakan pendekatan kuantitatif dua peringkat, yang menggunakan penanda aras pada aktiviti perniagaan, di mana aktiviti tidak patuh syariah tidak boleh melebihi 5% atau 20% (bergantung kepada jenis aktiviti) hasil atau keuntungan sebelum cukai (PBT) dan nisbah kewangan, di mana hutang/aset konvensional dan tunai/aset konvensional mestilah di bawah 33%.
HLIB difahamkan untuk semakan November 2022, penanda aras tersebut akan dikira berdasarkan penyata kewangan teraudit terkini yang dikeluarkan di laman web Bursa Malaysia sehingga 30 September 2022.
Sehingga tempoh semakan terakhir (iaitu Mei 2022), terdapat 751 saham patuh syariah disenaraikan di Bursa Malaysia, mencakupi 78.8% daripada jumlah saham tersenarai. - DagangNews.com








