KUALA LUMPUR 24 Mei - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research memberi penilaian 35 sen bagi saham Yew Lee Pacific Group Bhd. (YLPG), 25% lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 28 sen sesaham.
Pengeluar pembuatan berus industri serta perdagangan alat ganti jentera dan perkakasan industri itu akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd., pada 7 Jun ini.
Firma itu menganggarkan YLPG akan merekodkan keuntungan bersih teras dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 8.6% bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY23.
Katanya, pertumbuhan itu akan disokong oleh jualan berus industri boleh suai margin yang lebih tinggi kepada pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan baharu (Malaysia dan luar negara) daripada sektor semikonduktor, pembuatan kaca dan pertanian.
"Walaupun kumpulan mempunyai pendedahan ketara kepada sektor sarung tangan getah yang menyumbang kira-kira 80% kepada hasil FY21, tetapi kami percaya ketidaktentuan jangka pendek yang melanda industri memberi kesan kepada pendapatan bersihnya.
"Ini kerana jangkaan inventori yang mengheret turun aktiviti berada di penghujungnya, sepatutnya memberi insentif kepada pengeluar sarung tangan getah untuk menyimpan semula stok pada separuh kedua 2022," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Yew Lee Pacific Group sasar kumpul RM37.27 juta daripada IPO
Secara dasarnya, YLPG terlibat terutamanya dalam pembuatan berus industri dan perdagangan perkakasan industri dan bahagian jentera.
Pada FY21, segmen pembuatan menyumbang 70% daripada hasil kumpulan manakala selebihnya menerusi segmen perdagangan.
Di samping itu, didapati kira-kira 80% daripada jualan pembuatan YLPG datang daripada sektor sarung tangan getah manakala baki 20% adalah daripada industri pembuatan kaca, elektrik dan elektronik (E&E), pertanian dan pemprosesan makanan.
Menerusi penyenaraiannya di Pasaran ACE, YLPG dijangka menjana RM37.27 juta daripada IPO, yang membabitkan terbitan 133.10 juta saham baharu yang akan diterbitkan pada harga 28 sen sesaham dan tawaran penjualan 26.62 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Syarikat yang berpangkalan di Ipoh itu bercadang menggunakan dana yang dikumpul daripada IPO untuk pembelian mesin dan peralatan berjumlah RM10.9 juta manakala RM7.3 juta untuk pembinaan kemudahan gudang dan bangunan pejabat.
Selebihnya, sebanyak RM1.8 juta untuk pengubahsuaian bangunan pejabat, RM8.9 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM4.57 juta untuk modal kerja dan RM3.8 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.
Menurut HLIB, dalam usaha mengurangkan risiko penumpuan dalam segmen sarung tangan getah, YLPG akan mempelbagaikan lagi berus industrinya kepada permintaan margin yang lebih disesuaikan dan lebih tinggi daripada segmen semikonduktor, pembuatan kaca dan pertanian.
"Kami menjangkakan sumbangan yang lebih bermakna daripada segmen ini apabila pembinaan gudang baharunya (dilengkapi dengan jentera dan peralatan moden) siap menjelang separuh kedua 2023, sekali gus meningkatkan keupayaan dan kecekapan pembuatannya," jelasnya. - DagangNews.com








