Hextar Industries dapat kelulusan ambil alih 100% kepentingan dalam Hextar Fertilizers bernilai RM480 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hextar Industries dapat kelulusan ambil alih 100% kepentingan dalam Hextar Fertilizers bernilai RM480 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Okt - Hextar Industries Bhd. (HIB) memperoleh kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan dalam Hextar Fertilizers Limited (HFL) daripada Hextar Holdings Sdn. Bhd. (HHSB) dengan pertimbangan tunai RM480 juta.

 

Berikutan penerimaan kelulusan pemegang sahamnya, perjanjian penjualan saham yang dimeterai antara HIB dan HHSB pada 8 Ogos 2022 berhubung pengambilalihan itu kini telah menjadi tanpa syarat.

 

Pengarah Urusan HIB, Benny Ang Sui Aik berkata, peningkatan segera dalam kapasiti pengeluaran daripada 75,000 tan metrik setahun ketika ini hingga 679,000 tan metrik setahun memberikan kumpulan skala untuk mengembangkan kehadiran dalam pasaran domestik.

 

Katanya, ia juga untuk memanfaatkan pasaran eksport yang lebih luas melalui rangkaian global kumpulan HFL yang kukuh.

 

"Perniagaan kami didorong oleh volum, justeru, dengan meningkatkan kapasiti kami lapan kali ganda melalui langkah pengambilalihan ini, kami telah meningkatkan daya saing kami dengan ketara.

 

"Kami juga akan dapat memanfaatkan pasaran modal untuk membiayai operasi kami yang diperbesarkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Memandangkan pegangan saham HHSB dalam HIB akan meningkat daripada 45.7% kepada 77.3% selaras dengan terbitan saham pertimbangan untuk pengambilalihan, HHSB perlu melanjutkan tawaran am mandatori untuk memperoleh baki saham HIB yang belum dimiliki oleh HHSB.

 

Dalam hal ini, M&A Securities Sdn. Bhd., bagi pihak HHSB, telah menyampaikan notis tawaran terhadap HIB petang ini.

 

Selepas selesai tawaran itu, HHSB akan melaksanakan tawaran untuk penjualan bilangan saham pertimbangan untuk memastikan pematuhan berterusan HIB dengan Keperluan Penyenaraian Bursa Securities. - DagangNews.com