Hasil Hektar REIT bagi FY23 susut kepada RM111.5 juta berbanding RM117.5 juta pada tahun sebelumnya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Hektar REIT bagi FY23 susut kepada RM111.5 juta berbanding RM117.5 juta pada tahun sebelumnya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - Hektar Asset Management Sdn Bhd, pengurus Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) mencatatkan penyusutan hasil kepada RM111.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) berbanding RM117.5 juta pada tahun sebelumnya.

 

Hektar REIT dalam satu kenyataan berkata, pendapatan harta bersih (NPI) sebanyak RM60 juta yang dicatatkan adalah 2% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, disebabkan strategi campuran kedudukan dan penyewaan semula yang sedang dijalankan di Subang Parade dan usaha pengoptimuman kos yang dijalankan sepanjang tahun.

 

Nilai Aset Bersih (NAV) seunit untuk FY23 selepas pengagihan pendapatan adalah pada RM1.13 dengan diskaun kepada NAV sebanyak 42.7%. 

 

Secara keseluruhan, penilaian pasaran portfolio Hektar REIT meningkat sebanyak RM26.6 juta pada 2023

 

Katanya, kadar portfolio penghunian mencapai kadar 86.7% dengan setiap hartanah mempamerkan prestasi cemerlang dengan Mahkota Parade menawarkan kadar penghunian mencecah 94%, Kulim Central menghampiri 97% dan Wetex Parade menghampiri 98%.

 

"Menerusi stratgei pengurusan berkesan, kami berjaya mengekalkan 212 penyewa baharu merangkumi 28.65%  jumlah kawasan boleh disewa bersih (NLA) bersamaan 581.802 kaki persegi.

 

hektar
Johari Shukri Jamil

 

"Terdapat lonjakan ketara sebanyak 10% dalam jumlah pengunjung, berjumlah 23.2 juta pada FY23 berbanding 21.1 juta pada FY22, mencerminkan peningkatan keyakinan pengguna dan daya tarikan pusat beli-belah Hektar REIT," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management, Johari Shukri Jamil berkata, peningkatan kadar penghunian dan pengembalian sewa yang positif serta pengurusan kewangan yang baik, pihaknya bersedia untuk meneruskan trajektori pertumbuhan. 

 

Katanya, pihaknya juga akan berusah untuk menyampaikan nilai mampan kepada pemegang unit mereka berpaksikan kepada komuniti di pusat beli-belah Hektar REIT.

 

"Pencapaian FY23 menyerlahkan komitmen kami terhadap kecemerlangan operasi, pengurusan kewangan dan pertumbuhan strategik sekali gus membuka jalan untuk prospek positif pada tahun-tahun akan datang," katanya.

 

Aset Di Bawah Pengurusan Hektar REIT (AUM) terdiri daripada enam pusat beli-belah dan sebuah hotel di seluruh Semenanjung Malaysia. 

 

Strategi kepelbagaian geografi memberi petanda positif  kepada Hektar REIT dan sejajar dengan strategi menyeluruh untuk memfokuskan pada aset runcit dalam pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan. - DagangNews.com