Hari Pelaburan Kelantan 2022 promosi insentif khas kerajaan untuk bakal pelabur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hari Pelaburan Kelantan 2022 promosi insentif khas kerajaan untuk bakal pelabur

Datuk Hanifa Ahmad (tengah) ketika pelancaran Hari Pelaburan Kelantan 2022 yang turut dihadiri Datuk Baidzawi Che Mat (kiri) dan Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal (dua dari kiri).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KOTA BHARU 26 Julai - Kerajaan Kelantan menerusi Invest Kelantan menganjurkan Hari Pelaburan Kelantan 2022 (KID 2022) bagi mewujudkan kesedaran dan mempromosikan negeri kepada bakal pelabur, terutamanya mengenai insentif khas dari Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk para pelabur.

 

Program menerusi kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan serta Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hanifa Ahmad.

 

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Kelantan, Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan baharu ke negeri tersebut.

 

"KID 2022 dianjurkan untuk mengetengahkan peluang perniagaan dan peluang pelaburan yang ada, disamping menguar-uarkan tentang potensi ekonomi negeri Kelantan.

 

"Alhamdulillah, melalui kerjasama erat yang terjalin antara Invest Kelantan, ECERDC dan MIDA serta dengan adanya Pakej Insentif Khas Kelantan, kami menyaksikan peningkatan jumlah pelabur yang berminat untuk melabur di Kelantan pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Di bawah Pakej Insentif Khas Kelantan, pelabur yang layak akan menikmati pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100% selama 15 tahun, serta lanjutan lima (5) tahun lagi bagi cukai pendapatan khas, pada kadar istimewa 17%. 

 

Selain itu, para pekerja berstatus bukan warganegara yang memegang jawatan pengurusan kanan dalam syarikat yang berada di bawah inisiatif ini hanya akan dikenakan kadar cukai rata sebanyak 15% sebagai insentif tambahan bagi meningkatkan daya saing Kelantan sebagai sebuah destinasi pelaburan.

 

 

ECERDC
Datuk Baidzawi Che Mat

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat pula berkata, dengan adanya Pakej Insentif Khas Kelantan, ECERDC mempergiat usaha mempromosikan Kelantan kepada para pelabur berpotensi.

 

"Sehingga Jun 2022, pelaburan komited bagi negeri telah mencecah RM5.2 bilion, melepasi sasaran pelaburan ECERDC untuk Kelantan tahun ini, iaitu sebanyak RM1.8 bilion," katanya.

 

Kelantan setakat ini telah merekodkan pelaburan komited tertinggi berbanding negeri lain di wilayah ECER. 

 

Sektor tenaga boleh diperbaharui menjadi penyumbang tertinggi, iaitu kira-kira 62% daripada jumlah keseluruhan pelaburan, manakala sektor pembuatan telah menyumbang kira-kira 25% daripada jumlah keseluruhan pelaburan.

 

Di KID 2022, ECERDC mengetengahkan peluang pelaburan yang terdapat di negeri Kelantan, terutamanya di Taman Halal Pasir Mas (PMHP) dan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) serta pada masa akan datang, Taman Perindustrian Tok Bali (TBIP) yang sedang dibangunkan. 

 

Para pelabur berpotensi juga digalakkan untuk mengambil kesempatan melabur dalam sektor perniagaan tani dan pelancongan. Organisasi lain termasuk MIDF, Agrobank dan Maybank turut mengambil bahagian dan membentangkan tentang prospek pembiayaan pelaburan di Kelantan.

 

Bersempena dengan KID 2022, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob telah melancarkan Dasar Pelaburan Negeri Kelantan.

 

“Kerjasama erat yang berterusan antara ECERDC, Kerajaan Persekutuan dan negeri serta agensi berkaitan telah menyumbang ke arah peningkatan minat para pelabur baharu untuk melabur di Kelantan. 

 

"Kami yakin, dengan adanya pembangunan infrastruktur dan kesalinghubungan yang pesat dan berterusan, daya tarikan negeri ini sebagai sebuah destinasipelaburan yang kompetitif akan semakin meningkat,” tambah Baidzawi. - DagangNews.com