KUALA LUMPUR 14 Mac - Industri penanaman sayur di seluruh negara mungkin 'hampir lumpuh' selepas Aidilfitri ini andai isu kekurangan pekerja asing terus berlarutan.
Menurut persatuan pengusaha sayur, kekurangan pekerja asing sedia ada diburukkan lagi apabila kerajaan membatalkan kuota pekerja asing yang tidak digunakan sebelum 31 Mac ini selain trend pekerja warga Indonesia pulang cuti raya sehingga dua bulan lamanya.
Sehubungan itu, dua persatuan mewakili pengusaha sayur terbesar di negara ini yang dipetik BH Online menjangkakan harga sayur akan naik sehingga 25 peratus tidak lama lagi sekiranya isu kuota pekerja asing terus membelenggu mereka.
Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia menjangkakan bekalan mula terjejas bulan depan manakala Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands menjangkakan 'bekalan lebih buruk pada Mei dan boleh berlarutan hingga Julai'.
Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan pengalaman pengusaha yang berdepan senario kekurangan tenaga buruh kritikal ketika penularan wabak COVID-19 dahulu yang menyebabkan indusrti hampir lumpuh.
Malah katanya, harga sayur biasanya akan melambung pada pertengahan Ramadan dan semakin buruk selepas Aidilfitri kerana kekurangan buruh susulan pekerja Indonesia sudah bercuti raya.
ARTIKEL BERKAITAN: FMM kesal kerajaan ubah dasar pengambilan pekerja asing secara tergesa-gesa
"Jika industri pertanian alami kekurangan tenaga buruh kritikal, maka hasil sayuran turut akan berkurangan dengan signifikan dan ia akan menjejaskan rantaian bekalan menyebabkan harganya melambung," katanya.
Beliau juga berharap kerajaan campur tangan termasuk mengecualikan pembatalan kuota pekerja asing yang tidak digunakan khusus untuk sektor pertanian sayur.
Katanya, langkah itu penting bagi membolehkan lebih 2,000 ladang sayur di seluruh negara tidak mengalami isu kekurangan tenaga buruh kritikal.
Bagi Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid, antara jenis sayur yang terjejas pengeluaran antara 30 hingga 40 peratus di Cameron Highlands ialah jenis berdaun dan berbuah seperti kobis, kailan, sawi, tomato, cili serta terung.
Atas dasar itu, katanya kerajaan diminta mengkaji semula pembatalan kuota pekerja asing yang tidak digunakan secara blanket kerana sektor pertanian masih memerlukannya.
"Malah, rayuan daripada persatuan sayur-sayuran sudah dibuat supaya kerajaan mengkaji semula bagi memastikan bekalan tidak terjejas dan tidak membatalkan permohonan pekerja asing dibuat persatuan.
"Sebelum ini permohonan bagi pekerja dalam sektor pertanian membabitkan kebun sayur, bunga dan ladang teh di Cameron Highlands adalah sebanyak 8,000 orang.
"Namun kini separuh daripadanya sudah diisi khususnya ladang teh namun bagi kebun sayur kira-kira 4,000 pekerja
asing masih diperlukan. Jika tidak bermula Mei nanti kita bimbang bekalan akan terjejas," katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, Syed Abd Rahman berkata, faktor cuaca juga boleh memberi kesan kepada pengeluaran bekalan sayur tetapi boleh distabilkan sekiranya terdapat bekalan import dari negara jiran seperti Thailand.
"Keperluan pekerja asing memang kritikal sebab pekerja tempatan termasuk Orang Asli tidak berminat untuk bekerja di kebun, sebaliknya lebih cenderung di restoran atau hotel.
"Kita tidak faham ada majikan yang membawa masuk pekerja dalam bilangan ramai tetapi tidak diberikan kerja, sedangkan di Cameron Highlands kita berdepan kekurangan pekerja," katanya.
Beliau berkata, pihaknya melihat kekurangan pekerja asing semakin ketara selepas Mei kerana terpaksa pulang ke negara asal kerana permit tamat tempoh dan tidak boleh diperbaharui.
"Kita meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan pemeriksaan dan melaksanakan tindakan berdasarkan kes dan bukannya secara keseluruhan.
"Selain itu, kaedah kedua ialah pekerja asing yang tidak dibenarkan menyambung permit supaya diberi kelonggaran untuk berbuat demikian dalam sektor pertanian," katanya.- DagangNews.com








