Harga minyak sawit mentah diunjur kekal tinggi pada separuh pertama 2023 - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mentah diunjur kekal tinggi pada separuh pertama 2023 - MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Feb - Harga minyak sawit mentah diunjur kekal tinggi sekurang-kurangnya dalam tempoh separuh pertama 2023 walaupun diniagakan tidak menentu pada Februari hingga Mac, demikian menurut MIDF Research. 

 

Firma itu menjangkakan harga minyak sawit mentah tempatan akan meningkat 13% kepada RM4,288 satu tan metrik pada April sebelum kembali susut 11% kepada RM3,837 satu tan metrik pada Mei selepas Hari Raya Puasa. 

 

Menurutnya, penurunan itu disebabkan keputusan kerajaan Indonesia menarik balik sekatan eksport bagi mengurangkan simpanan stok yang berlebihan. 

 

Pada masa sama, harga minyak sawit mentah juga tidak berubah ekoran bulan kitaran yang produktif pada suku kedua 2023.

 

Ia turut mendapati harga komoditi itu dipengaruhi prospek permintaan yang lemah disebabkan tekanan inflasi dengan perbelanjaan isirumah yang ketat apabila kadar faedah semakin meningkat dan langkah kerajaan Indonesia melanjutkan dasar sifar levi bagi eksport minyak sawit pada 2023.

 

"Kami menjangkakan harga minyak sawit mentah diniagakan tidak menentu pada Februari hingga Mac sekitar RM3,500 hingga RM4,000 satu tan metrik.

 

"Harga komoditi ini mendapat manfaat daripada perbezaan harga antara minyak sawit mentah berbanding minyak kacang soya yang sehingga kini berjumlah AS$445 satu tan metrik dan purata tiga tahun sebanyak AS$246.2 satu tan metrik, berdasarkan harga niaga hadapan tiga bulan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Mengambil kira semua faktor berkenaan, MIDF Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan dengan mengunjurkan harga minyak sawit mentah berlegar sekitar RM3,500 satu tan metrik pada tahun ini.

 

Harga minyak sawit mentah (penghantaran tempatan) bermula dengan stabil pada RM5,214 satu tan metrik yang direkodkan awal Januari 2022, melonjak sehingga RM8,077 satu tan metrik pada Mac, sebelum menurun kepada RM5,105 satu tan metrik (susut 2.09% setakat ini) pada Jun lalu.

 

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi harga komoditi ini, antaranya, pertikaian antara Rusia-Ukraine dan minyak sawit Malaysia menjadi kurang menarik disebabkan pengurangan harga berikutan larangan eksport Indonesia dan menurunkan cukai dan levi eksport minyak sawit  maksimumnya kepada AS$488 satu tan metrik. 

 

MIDF Research berkata, semasa tempoh sekatan, masih wujud risiko dalam tangki yang berlebihan, memberi kesan riak kepada tangki yang penuh, kilang minyak sawit akan menghentikan operasi apabila stok berlebihan. 

 

"Akibatnya, tiada pembelian buah tandan segar daripada syarikat perladangan sawit," jelasnya.  

 

Ini katanya, menjejaskan volum jualan seperti yang dapat dilihat dalam prestasi kewangan enam bulan bagi tahun kewangan 2022 membabitkan syarikat perladangan tempatan.

 

"Pengeluaran buah tandan segar TSH Resources Bhd., Sime Darby Plantation Bhd., IOI Corp Bhd. dan Genting Plantations Bhd. masing-masing berkurangan sebanyak 10%, 6%, 6% dan 4% disebabkan pendedahan pengeluaran secara geografi ini," tambahnya.

 

Firma itu menamakan Sime Darby Plantation dan Sarawak Plantation Bhd. sebagai pilihan utama bagi sektor perladangan dengan saranan 'beli' pada harga sasaran masing-masing, RM5.50 dan RM2.60 sesaham. - DagangNews.com