Harga minyak sawit dijangka pacu prospek Ta Ann pada suku kedua, Maybank IB naikkan penarafan kepada 'beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit dijangka pacu prospek Ta Ann pada suku kedua, Maybank IB naikkan penarafan kepada 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Maybank Investment Bank (IB) menaikkan penarafan Ta Ann Holdings Bhd. kepada 'beli' daripada 'pegang' sebelum ini dengan harga sasaran tidak berubah pada RM4.06 sesaham. 

 

Firma itu menjangkakan kumpulan akan merekodkan prestasi teras suku kedua berakhir 30 Jun 2022 yang lebih kukuh dipacu menerusi segmen minyak sawit dan perkayuan.

 

Katanya, Ta Ann dijangka merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) teras sekitar RM105 hingga RM110 juta menajdikan PATMI separuh pertama berjumlah RM181 hingga RM186 juta, sejajar dengan unjuran tahun penuhnya sebanyak RM309 juta. 

 

"Prestasi suku kedua ini akan dipacu menerusi sumbangan segmen perladangan minyak sawit yang kukuh didorong harga jualan purata (ASP) minyak sawit yang lebih baik dan pengeluaran buah tandan segar yang lebih tinggi.

 

"Memandangkan hampir sedikit atau tiada jualan hadapan, kami percaya Ta Ann akan menjadi penerima utama daripada kenaikan ASP minyak sawit mentah pada suku kedua," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada suku kedua, ia menjangkakan ASP minyak sawit mentah Ta Ann hampir menyamai ASP Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sebanyak RM6,500 satu tan metrik, meningkat 56% tahun ke tahun dan 8% suku ke suku.

 

Pengeluaran buah tandan segar pada suku itu pula sebanyak 161,755 tan metrik, mengatasi trend pengeluaran nasional.

 

Bagi segmen perkayuan, kumpulan merekodkan keuntungan sebelum cukai pada suku pertama sebanyak RM22 juta.

 

Ini mendorong Maybank IB mengunjurkan hasilnya kekal kukuh pada suku kedua, dipacu penebangan balak yang lebih tinggi, meningkat 30% tahun ke tahun dan 2% suku ke suku kepada 84,740 meter kubik, selain harga kayu balak dan papan lapis yang kukuh.

 

"Jika prestasi suku kedua tidak meningkat sekalipun, ia disebabkan kekangan bekalan dan kawalan alam sekitar yang ketat ke atas penebangan balak," jelasnya.

 

Bagaimanapun, firma itu tetap berhati-hati terhadap keuntungan utama Ta Ann yang mungkin diheret turun oleh kerugian nilai wajar dalam aset biologi kumpulan berikutan penurunan mendadak harga minyak sawit mentah pada akhir Jun.

 

"Namun, kami percaya sebahagian besar keuntungan nilai wajar sebanyak RM28.5 juta ke atas aset biologi yang direkodkan pada suku pertama 2022 boleh menjadi sebaliknya pada suku kedua," tambahnya.

 

Oleh itu, ia mengekalkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dengan harga minyak sawit mentah diunjur pada RM5,000 satu tan metrik manakala RM3,400 bagi FY23.

 

Setakat 11.26 pagi ini, harga saham Ta Ann susut 15 sen atau 3.74% kepada RM3.86 sesaham dengan 720,700 saham diniagakan. - DagangNews.com