Harga minyak mentah global diunjur melebihi AS$90 setong pada 2024 - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak mentah global diunjur melebihi AS$90 setong pada 2024 - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Okt - MIDF Research mengunjurkan harga minyak mentah global meningkat melebihi AS$90 setong pada 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan itu didorong oleh bekalan yang terhad terutama selepas Arab Sudi dan Rusia mengurangkan pengeluaran minyak mereka sehingga akhir tahun ini.

 

Bagaimanapun, mereka juga menjangkakan inventori minyak global kembali meningkat seawal separuh kedua 2024 dan ketegangan geopolitik di Eropah juga dijangka berkurangan.

 

"Oleh itu kami menjangkakan purata harga minyak mentah global berada dalam julat AS$84 hingga AS$86 setong pada tahun hadapan," katanya dalam satu nota kajian.

 

MIDF Research berkata, kadar sewa kapal tangki dijangka meningkat dengan mengambil kira penambahan semula inventori minyak mentah dan sekatan berterusan Rusia ke atas produk petroleumnya.

 

Katanya, bahan api minyak dan gas berhadapan dengan risiko harga yang lebih tinggi dan kos penapisan yang lebih tinggi, ditambah pula dengan tekanan inflasi, yang boleh menjejaskan dasar subsidi bahan api kerajaan, dan seterusnya kepada pengguna akhir.

 

"Namun begitu, kami menjangkakan petrokimia akan melihat peningkatan pada 2024, berdasarkan kekuatan keseimbangan permintaan-bekalan yang lebih stabil.

 

"Selain itu dia didorong peningkatan bahan kimia khusus untuk industri kritikal lain seperti pertanian, makanan dan minuman, makanan haiwan dan farmaseutikal," katanya.

 

Secara keseluruhannya, firma penyelidikan itu mengulangi berpandangan positif terhadap sektor minyak dan gas.

 

Katanya, mereka sentiasa berhati-hati terhadap permintaan minyak mentah dan produk petroleum.

 

Bagaimanapun, arah aliran utama yang perlu diperhatikan dalam bermula suku keempat tahun ini sehingga 2024 adalah ketidakstabilan permintaan. - DagangNews.com