Harga mampu milik bantu MR DIY berdepan tekanan perbelanjaan pengguna - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Harga mampu milik bantu MR DIY berdepan tekanan perbelanjaan pengguna - Maybank IB

Gambar MR DIY
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 14 Ogos - MR DIY Group (M) Bhd meraih manfaat daripada peralihan orang ramai kepada produk yang lebih murah akibat tekanan berterusan terhadap perbelanjaan pengguna.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, harga produk yang mampu milik dan fokus kepada pasaran yang merentas pelbagai kelompok pengguna juga membolehkan prospek MR DIY kekal positif.

 

"Kenaikan kos operasi juga berada dalam kawalan dengan permulaan operasi gudang automatik baharu dan pengukuhan nilai ringgit.

 

"Unjuran pendapatan, saranan 'BELI' tidak berubah dan harga sasaran (TP) kekal pada RM2.45 sesaham.

 

"MR DIY adalah pilihan utama kami dalam sektor pengguna," katanya dalam nota penyeldikan hari ini.

 

Sementara itu, Maybank IB berkata, keputusan suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) MR DIY adalah selaras dengan jangkaan. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: MR DIY catat untung bersih RM155.2 juta pada 2QFY24, yakin sentimen pengguna Malaysia meningkat

 

Kata firma itu, pendapatan kumpulan suku berkenaan meningkat sebanyak +9% YoY, terutamanya daripada sumbangan kedai baharu (+42 kedai YoY) dan peningkatan jumlah transaksi (+13% YoY).

 

Bagaimanapun ujarnya, sebahagiannya diimbangi oleh saiz bakul purata yang lebih rendah kepada RM25.80 berbanding 2Q23, RM27.30 akibat sentimen pengguna yang lembap. 

 

"EBIT 2Q24 meningkat sebanyak 4% YoY berikutan kenaikan kos buruh (+9% YoY) daripada pembukaan kedai baharu. 

 

"Secara berasingan, gudang automatik MRDIY telah memulakan operasi pada Ogos 2024. 

 

"Dengan ini, syarikat menjangkakan penjimatan kos bersih sekitar RM10 juta setahun daripada kos buruh dan berkaitan gudang yang lebih rendah, selepas menutup 4 gudang dalam beberapa suku akan datang," jelasnya.

 

Maybank IB dalam pada itu menyifatkan usaha sama dengan rangkaian kedai gaya hidup China, KKV sebagai sesuatu yang mengujakan.

 

Katanya, kumpulan MR DIY telah memulakan usaha sama ekuiti 49% untuk mengendalikan kedai KKV di Malaysia. 

 

"KKV adalah kedai gaya hidup runcit Cina yang menawarkan pelbagai produk termasuk keperluan rumah, mainan, alat tulis, makanan & minuman, pakaian, dan kategori kecantikan. 

 

"Setakat ini, tiga kedai KKV telah dibuka iaitu satu di Kuala Lumpur dan dua di Pulau Pinang dengan MR DIY merancang untuk membuka 10 kedai lagi menjelang akhir 2024. 

 

"Data operasi jualan masih terhad pada masa ini, tetapi kami faham bahawa volum jualan KKV adalah tiga kali ganda daripada MR DIY dengan saiz bakul purata yang lebih tinggi. Keputusan 2Q24 kumpulan termasuk sumbangan pendapatan RM500,000 daripada KKV," ujarnya. - DagangNews.com