Harga besi susut antara 0.6% dan 4% pada Ogos 2023 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga besi susut antara 0.6% dan 4% pada Ogos 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Sept - Indeks harga seunit besi mencatatkan penurunan iaitu antara 0.6% dan 4% pada Ogos 2023 bagi hampir semua kawasan kecuali di Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kota Kinabalu dan Kuching, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks harga seunit keratan keluli dan logam pula mencatatkan penurunan antara 0.3% dan 2% bagi beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

Katanya, penurunan indeks harga besi dan keratan keluli dan logam ini adalah seiring dengan senario penurunan harga besi dan bijih besi di peringkat global.

 

"Perbandingan bulanan mengikut bahan binaan dan kawasan terpilih menunjukkan penurunan indeks harga seunit bagi bahan binaan seperti besi, papan lapis dan keratan keluli dan logam bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Selain daripada besi dan keluli dan logam, indeks harga seunit simen bagi kebanyakan kawasan kekal tidak berubah berbanding Julai 2023 kecuali terdapat sedikit peningkatan bagi kawasan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.3%) dan Johor (1.2%). 

 

Manakala terdapat penurunan harga dicatatkan bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah, Perlis (0.1%) dan Kuching (0.2%). Walau bagaimanapun, papan lapis pula telah mencatatkan peningkatan harga iaitu 2.8% bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, manakala penurunan harga 2% dicatatkan bagi semua kawasan di Sabah dan Sarawak.

 

Perbandingan secara tahunan untuk tempoh Ogos 2022 dan Ogos 2023 menunjukkan indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 2.6% dan 24.1% bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak kecuali di Sibu dan Miri. 

 

 

dosm

 

 

Peningkatan tertinggi indeks harga seunit simen adalah kawasan Kelantan & Terengganu (24.1%) dan diikuti oleh kawasan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (19.9%). 

 

Indeks harga seunit besi mencatatkan penurunan antara 0.8% hingga 15.2% bagi Ogos 2023 berbanding bulan yang sama tahun lalu. Walau bagaimanapun, terdapat peningkatan indeks harga seunit besi dicatatkan di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (1.4%).

 

Mohd Uzir berkata, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars adalah RM3,620.05 bagi setiap tan metrik dengan penurunan yang kecil iaitu 0.1% berbanding RM3,622.85 per tan metrik pada Julai 2023. 

 

Manakala, purata harga simen (Ordinary Portland) pula mencatatkan sedikit peningkatan iaitu 0.2% berbanding 0.1% pada Julai 2023, dengan purata harga RM22.89 per 50 kg berbanding RM22.84 pada Julai 2023.

 

Selain daripada itu, indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) (termasuk bar keluli) bagi semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia pada Ogos 2023 meningkat antara 0.1% dan 1.4% berbanding bulan sebelumnya. 

 

Peningkatan tertinggi adalah bagi kategori bangunan (konkrit tetulang) 2-4 tingkat (berbumbung rata) di kawasan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

 

IKB (termasuk bar keluli) di Sabah menunjukkan penurunan di antara 0.1% dan 1.3% bagi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau pada Ogos 2023 berbanding bulan sebelumnya. 

 

Perbandingan bulanan IKB (termasuk bar keluli) di Sarawak pada Ogos 2023 menunjukkan peningkatan indeks di antara 0.1% dan 0.3% bagi tiga kategori bangunan di Kuching iaitu cerucuk konkrit (0.3%), bangunan konkrit tetulang 2-4 tingkat (berbumbung rata) (0.1%) dan bangunan konkrit tetulang 2-4 tingkat (berbumbung curam) (0.1%).

 

Manakala indeks bagi kategori bangunan lain di Kuching kekal tidak berubah. Dua daripada 10 kategori bangunan di Sibu dan Miri merosot sebanyak 0.1% manakala indeks bagi lain-lain kategori bangunan kekal tidak berubah. - DagangNews.com