Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Mei - Sebanyak 3.97 juta sarung tangan nitril pakai buang yang dikeluarkan Top Glove Corporation Bhd. bernilai AS$518,000 dirampas Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) di Cleveland.
Ini berikutan terdapat maklumat yang menunjukkan sarung tangan tersebut dibuat menggunakan buruh paksa.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan CBP, rampasan itu dibuat selepas pemeriksaan yang dilakukan para pegawainya mendapati ia dihasilkan oleh Top Glove.
Pengarah Pelabuhan Kawasan Cleveland, Diann Rodriguez berkata, ia menunjukkan mesej jelas bahawa CBP tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang produk import yang dihasilkan menggunakan buruh paksa, yang mana ia satu bentuk perhambaan moden yang menekan pekerja dan mengancam ekonomi.
"Bagaimanapun, CBP akan terus mempermudahkan urusan penghantaran PPE yang sah dan sangat diperlukan ketika pandemik COVID-19 serta memastikan PPE berkenaan dibenarkan dan selamat digunakan," katanya.
Pada 29 Mac lalu, CBP mengarahkan semua kakitangan di pelabuhan Amerika Syarikat (AS) supaya memulakan rampasan terhadap sarung tangan yang dihasilkan oleh Top Glove.
CBP juga mengeluarkan penemuan penggunaan buruh paksa pada 29 Mac lalu berdasarkan beberapa bukti dan petunjuk dalam proses pengeluaran di syarikat pengeluar sarung tangan getah itu.
Antaranya, termasuklah ikatan hutang, kerja lebih masa, penyalahgunaan tempat kerja dan tempat tinggal serta dokumen pengenalan diri disimpan.
Top Glove pada 26 April lalu memberitahu telah menyelesaikan semua 11 petunjuk buruh paksa yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan telah disahkan oleh firma perunding antarabangsa bebas yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Impactt Ltd, dalam laporannya bertarikh 22 April 2021.
Menurut CBP, berdasarkan undang-undang persekutuan 19 U.S.C 1307, ia melarang sebarang pengimportan barang dagangan yang dilombong, dihasilkan atau dikeluarkan, secara penuh atau sebahagiannya oleh buruh banduan, buruh paksa dan atau buruh tanpa izin termasuk buruh kanak-kanak yang dipaksa.
"CBP akan merampas penghantaran barangan tersebut tertakluk kepada sebarang penemuan melainkan pengimport dapat membuktikan kepada CBP, mengikut undang-undang persekutuan 19 C.F.R §12.43, barang dagangan tidak dihasilkan dengan menggunakan buruh paksa," katanya. - DagangNews.com








