Haily raih kontrak bernilai RM64 juta perbandaran Mah Sing di Johor | DagangNews Skip to main content

Haily raih kontrak bernilai RM64 juta perbandaran Mah Sing di Johor

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Dis - Haily Group Bhd memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM64 juta daripada Meridin East Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Mah Sing Group Bhd untuk membina 327 unit kediaman dan dua pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk perbandaran Meridin East di Johor Bahru. 

 

Kontrak tersebut merupakan antara projek terbesar Haily setakat ini dan merupakan projek utama kelima yang diraih kumpulan tahun ini, menjadikan jumlah nilai kontrak projek sebanyak RM697.51 juta.

 

Anak syarikat milik penuhnya, Haily Construction Sdn Bhd menerima surat anugerah (LOA) daripada Meridin East untuk pembinaan projek tersebut.

 

Kediaman yang setiap satunya berukuran 20’ x 70’ dan 2 pencawang TNB itu akan ditempatkan di Parcel 2G perbandaran Meridin East di Taman Bestari Perdana, Mukim Plentong, Johor Bahru.

 

Kontrak Haily membabitkan Parcel 2G1 dan Parcel 2G2, dengan 157 unit dan sebuah pencawang TNB akan dibina di Parcel 2G1, manakala baki 170 unit dan sebuah lagi pencawang TNB akan dibina di Parcel 2G2. 

 

Kontrak itu dijadualkan siap dalam tempoh 15 bulan dari tarikh permulaan Parcel 2G1 dan Parcel 2G2, yang mana akan ditentukan kemudian.

 

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily, See Tin Hai berkata, Meridin East merupakan pembangunan perbandaran campuran terbesar di Mah Sing, dengan jumlah keluasan tanah 531 hektar.

 

 

haily
See Tin Hai

 

 

Beliau berkata, kumpulan terus mendapat manfaat daripada kepercayaan dan reputasi dibina selama ini, terutamanya dalam keupayaan pihaknya untuk memberikan perkhidmatan cemerlang dan mengekalkan standard mutu kerja tinggi.

 

Katanya, mereka percaya berada di kedudukan selesa untuk meneruskan kebangkitan aktiviti dalam sektor pembangunan hartanah Johor.

 

"Sejak dua tahun lepas Johor berjaya meraih pelaburan besar dalam sektor minyak dan gas, pusat data dan projek pembuatan. Ini merupakan petanda baik bagi ekonomi Johor, yang mana tuahnya sepatutnya menular kepada pembangunan hartanah dan aktiviti pembinaan juga.

 

"Setakat tahun ini, kami memperoleh jumlah kontrak bernilai RM272.15 juta, yang jauh melebihi apa yang kami perolehi untuk keseluruhan 2022. Kami menyasarkan untuk terus membina momentum ini dengan mendapatkan lebih banyak projek bernilai tinggi," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Ekonomi Malaysia semakin pulih dengan mantap daripada wabak COVID-19, Haily memperoleh beberapa kontrak penting, mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu kontraktor terkemuka Johor. - DagangNews.com