KUALA LUMPUR 28 Julai - UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) mengumumkan pelantikan Hafizuddin Sulaiman sebagai ketua pegawai kewangan (CFO) baharu berkuat kuasa pada 1 Ogos ini.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, dengan Hafizuddin yang akan menggalas peranan baharunya, pemangku ketua pegawai kewangan, Azmy Mahbot akan menyambung semula peranan sebagai ketua, pengawal kumpulan pada tarikh sama.
Sebelum pelantikannya, Hafizuddin, 48, merupakan Ketua Strategi Kumpulan QSR Brands (M) Holdings Bhd.
Beliau memegang beberapa jawatan pengurusan tertinggi termasuk sebagai Ketua Pegawai Perbendaharaan Berjaya Corp Bhd, dan sebagai Ketua Perbendaharaan Permodalan Nasional Bhd.
Berpengalaman dalam perancangan perniagaan, modal teroka, ekuiti, pasaran modal dan penggabungan & pengambilalihan (M&A) selama lebih daripada 22 tahun, Hafizuddin dikenali ketika berkhidmat sebagai Pengarah Kewangan Khazanah Nasional Bhd pada Mei 2005 hingga Oktober 2019.
Hafizuddin merupakan pemegang ijazah sarjana muda perakaunan dari Universiti Teknologi MARA, juga merupakan akauntan bertauliah di Institut Akauntan Malaysia dan mempraktikkan di Ernst dan Young selama lebih lima tahun. - DagangNews.com








