Hadiah RM10,000 jadi tarikan Esports Championship di AKM Perlis | DagangNews Skip to main content

Hadiah RM10,000 jadi tarikan Esports Championship di AKM Perlis

ESports Championship menjadi salah satu tarikan di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis hari ini.
Oleh MOHAMAD IMAN

KANGAR 27 Mac - Tawaran hadiah wang tunai lumayan sehingga RM10,000 menjadi tarikan orang ramai
menyertai Esports Championship yang diadakan sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini.

 

Penyertaan diterima bukan sahaja dari negeri ini sebaliknya turut menarik minat peserta dari Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan yang semakin mendapat tempat.

 

 

AKM

 

 

Pengurus pasukan The Bellerick dari Kedah, Khairolhisham Samsudin, 42, berkata, pasukannya yang terdiri daripada 5 ahli berusia 17 hingga 26 tahun menyertai acara Mobile Legends.

 

Katanya, hadiah utama sebanyak RM3,000 bagi kategori Mobile Legends adalah satu nilai yang agak tinggi bagi pertandingan e-sukan.

 

“Memang bagus AKM Perlis menganjurkan pertandingan e-sukan seperti ini kerana ia dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai sukan terbabit.

 

“Malahan jika diberikan lebih banyak promosi mungkin lebih ramai lagi pasukan atau pemain yang akan menyertainya kerana tawaran hadiah sangat lumayan,” katanya.

 

Sementara itu, Pengurus pasukan Anbu X Gaming, Muhammad Nadhair Abdul Razak,30, berkata, AKM Perlis memberi peluang kepada peminat e-sukan mengasah bakat dengan menyertai kejohanan seperti ini.

 

Dia dan pasukannya yang datang dari Kuala Lumpur memberitahu, usaha yang dilakukan AKM Perlis menonjolkan sukan tersebut adalah baik bagi menarik minat golongan muda yang sekali gus menepis dakwaan bahawa e-sukan hanya membuang masa.

 

“Dengan adanya kejohanan seperti ini, kami dapat tunjukkan pada orang di luar sana bahawa dengan bermain e-sukan pun boleh dapat duit.

 

“Lagipun, saya melihat penerimaan orang ramai terhadap e-sukan semakin baik dan sebab itulah pendedahan serta kejohanan seperti ini perlu dilaksanakan,” katanya.

 

AKM

 

 

Dalam pada itu, Pengurus Esports Championship, Nur Amirul Affandy, 28, pula berkata, terdapat 2 pertandingan yang diadakan iaitu FIFA dan Mobile Legends yang menawarkan hadiah keseluruhan RM3,000 dan RM7,000 bagi setiap kategori.

 

Menurutnya, pihaknya menerima penyertaan 16 pasukan untuk Mobile Legends manakala 30 peserta individu untuk FIFA.

 

“Penyertaan sangat memberangsangkan dengan peserta paling muda berumur 14 tahun dari Perlis yang berjaya ke peringkat akhir.

 

“Selain daripada kejohanan, pengunjung juga diberi peluang untuk mencuba permainan e-sukan PlayStation 5 (PS5), PlayStation 4 (PS4) dan Virtual Reality,” katanya. - DagangNews.com