Hab ICP rasmi Malaysia, Synergy Labs dilancar bagi perkasa syarikat pemula teknologi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hab ICP rasmi Malaysia, Synergy Labs dilancar bagi perkasa syarikat pemula teknologi

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Nov - Synergy Labs bakal meneraju peranan selaku hab Protokol Komputer Internet (ICP) rasmi di Malaysia dalam usaha menyokong pertumbuhan dan pembangunan syarikat pemula teknologi yang berpangkalan di negara ini dalam bidang blok rantai dan kecerdasan buatan (AI). 

 

Synergy Labs yang diterajui pemimpin komuniti teknologi seperti Shas Fung, Roslan Wahab, Iana Pugahova, dan teknokrat berpengalaman lain membentuk sebuah pasukan terkemuka dalam memacu penggunaan Blok Rantai Komputer Internet, serta pembangunan ekosistem Web3 dan AI yang mantap. 

 

Penubuhan Hab ICP Malaysia merupakan inisiatif yang diinspirasikan daripada ICP Asia Alliance, dan sudah tiba saatnya pasukan berpengalaman seperti Synergy Labs memikul peranan dalam melaksanakan inisiatif pemerkasaan teknologi yang semakin berkembang luas ini. 

 

ICP Asia Alliance dilancarkan pada penghujung September 2023 oleh sebuah organisasi penyelidikan dan pembangunan bukan untung yang berpangkalan di Switzerland dalam blok rantai. 

 

Objektif utama Synergy Labs adalah untuk menyatukan pelbagai pihak berkepentingan, termasuklah organisasi kerajaan, pelabur, usahawan teknologi, universiti, pembangun (developer) serta ahli komuniti untuk membangunkan teknologi Web3 dan AI. 

 

Dengan mewujudkan sebuah platform rangkaian, pendidikan, dan inovasi, matlamat Synergy Labs adalah untuk memperkasakan individu, perniagaan, dan komuniti dalam memanfaatkan kuasa transformatif teknologi Web3 dan AI.

 

Shas Fung, peneraju Synergy Labs di Malaysia semasa majlis pelancaran berkata, Hab ICP Malaysia di bawah bidang kuasa Synergy Labs komited terhadap pertumbuhan industri blok rantai di Malaysia dan melalui inisiatif geran sebanyak AS$20 juta melalui ICP Asia Alliance, pembina dari ekosistem Malaysia mampu bergerak maju dengan lebih cekap. 

 

 

synergy
Shas Fung

 

 

"Bukan sekadar terhad pada sokongan kewangan, kami juga berhasrat untuk memperluas jangkauan komuniti dengan menyediakan pendidikan melalui kem intensif, hackaton, dan banyak lagi.

 

"Kami komited dalam membina ekosistem pembangun di Malaysia bukan sekadar dalam skop inisiatif geran namun melalui pertukaran ilmu pengetahuan, mewujudkan jalinan hubungan, serta menyediakan sokongan yang sewajarnya bagi pembangun baharu yang bercita-cita tinggi.

 

"Perjalanan sebagai pembangun bukanlah melibatkan diri pembangun sahaja namun hakikatnya dilakar bersama dengan rakan kongsi dan persekitaran sokongan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Inisiatif yang diperluas untuk mempertingkatkan pembangunan teknologi di Malaysia ini akan membantu memperkukuh ekosistem pemaju melalui kerjasama dengan Majlis Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), 42KL, serta banyak lagi rakan strategik.

 

 

synergy

 

 

Tawaran Geran

 

Melalui inisiatif dana geran bernilai AS$20 juta yang dilancarkan pada September oleh ICP Asia Alliance, Synergy Labs selaku Hab ICP rasmi di Malaysia kini memanfaatkan peluang tersebut dengan menawarkan dan mempromosikan dua jenis geran, iaitu geran komuniti dan pembangun yang bakal memberikan manfaat terhadap pembangunan teknologi di Malaysia. 


 
Geran komuniti sesuai digunakan bagi penganjuran acara, ideologi, hackaton, penciptaan kandungan, dan pempengaruh.


 
Melalui geran komuniti, pemohon boleh memilih amaun antara AS$5,000, AS$15,000, sehingga AS$25,000.


 
Sementara itu, untuk menyokong pembangun dan pembangunan komputer internet, suatu geran pembangun diwujudkan. 

 

Melalui geran pembangun, pemohon boleh memilih amaun antara AS$5,000, AS$25,000, sehingga AS$100,000. 

 

Dalam tahun-tahun kebelakangan, tercetus trend syarikat Web3 dan blok rantai memindahkan atau mengembangkan operasi masing-masing ke Asia secara meluas, menjadikan rantau ini sebagai hab global bagi tujuan inovasi Web3 dan blok rantai. 

 

Synergy Labs memainkan peranan utama dalam membangunkan komuniti ICP yang berkembang maju dengan menggalakkan kesedaran dan penerimaan secara aktif, merangkumi aspek pendidikan, perkongsian strategik, dan pecutan projek. 

 

Synergy Labs akan mengadakan kerjasama erat dengan ahli Pertubuhan lain di seluruh Asia untuk membangunkan penyelesaian ICP di rantau utama serta komited dalam keterangkuman serta sokongan terhadap pelaksanaan projek, menghubungkan ahli komuniti yang meliputi pembangun, usahawan, dan institusi pendidikan. 

 

Synergy Labs menjemput semua syarikat pemula Tech, dan syarikat pemula fintech untuk merebut peluang dalam permohonan geran yang ditawarkan. 

 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan tawaran geran, pembangun yang berminat  boleh log masuk https://dfinity.org/grants untuk mengetahui kriteria berdasarkan jenis geran yang dipohon. - DagangNews.com