Hab auto GDEX bernilai RM25 juta tingkatkan kapasiti pengisihan tiga kali ganda kepada 350,000 penghantaran setiap hari | DagangNews Skip to main content

Hab auto GDEX bernilai RM25 juta tingkatkan kapasiti pengisihan tiga kali ganda kepada 350,000 penghantaran setiap hari

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mei - GDEX Berhad meningkatkan kapasiti pengisihannya tiga kali ganda kepada 350,000 penghantaran setiap hari menerusi operasi hab auto bernilai RM25 juta.

 

Menurut kumpulan itu, kemudahan pengisihan automatik seluas 145,000 kaki persegi tersebut menggunakan teknologi pengisihan pintar dengan ketepatan pengisihan 99.99% yang memendekkan tempoh memproses dan mengurangkan risiko kerosakan bungkusan.

 

Hab Auto GDEX itu adalah kira-kira 30% lebih besar daripada hab penyisihan sebelum ini di Petaling Jaya dan menggunakan penyisih tali pinggang dua dek untuk memaksimumkan kapasiti penyisihan dengan penggunaan ruang udara hab.

 

Tambahan pula, hab itu menggunakan peralatan mesra alam seperti forklift elektrik dan bicu palet, yang dikuasakan oleh bateri boleh dicas semula bagi mengurangkan jejak karbon dalam operasi harian kumpulan.

 

Hab tersebut telah dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan turut disaksikan oleh Pengerusi GDEX, Tan Sri Muhammad Ibrahim, dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Teong Teck Lean.

 

Teong Teck Lean berkata Hab Auto GDEX melengkapkan inisiatif transformasi GDEX 2.0 yang memerlukan pembinaan ekosistem logistik lengkap dan berasaskan teknologi agar memenuhi keperluan pelanggan yang semakin dinamik.

 

 

 Teong Teck Lean
Teong Teck Lean

 

 

“Kami terus memanfaatkan kepakaran kami dalam kejuruteraan proses dan menyepadukan penyelesaian teknologi terkini dalam operasi untuk menawarkan kelajuan dan keyakinan kepada perniagaan.

 

“Dengan cara ini, kami secara strategik mengubah cara kami memindahkan penghantaran, sambil mempercepatkan pergerakan perniagaan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Teck Lean menambah bahawa kumpulan itu akan terus memainkan peranan proaktif dalam memupuk industri penghantaran ekspres dan logistik, di samping mengukuhkan kedudukan sebagai pemain terkemuka di Asia Tenggara.

 

GDEX akan terus mengemudi inisiatif GDEX 2.0 untuk memupuk ekosistem penghantaran berasaskan teknologi agar meningkatkan pengalaman pelanggan, menyediakan rangkaian penyelesaian dan perkhidmatan serba boleh, serta meluaskan jangkauannya kepada pelbagai jenis pelanggan. -DagangNews.com