Guna produk, perkhidmatan tempatan akan jadi dasar kerajaan | DagangNews Skip to main content

Guna produk, perkhidmatan tempatan akan jadi dasar kerajaan

produk tempatan

KUALA LUMPUR 21 Julai - Penggunaan produk serta perkhidmatan tempatan dilihat akan menjadi satu dasar pihak kerajaan sebagai langkah pemulihan ekonomi negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, beberapa kementerian lain juga turut menekankan perkara tersebut.

"Sebenarnya perkara ini sudah dibincangkan dan akan dilaksanakan. KPNHEP bersama MITI dan kementerian lain juga menekankan perkara itu. Bukan sahaja kita mahu produk tempatan kita dibeli, tetapi juga perkhidmatan kerana perkhidmatan dalam negara kita memang setanding kualiti yang kita dapat daripada luar negara.

"Jadi saya ingat memang ia akan jadi satu dasar kerajaan sebagai kaedah untuk membantu pemulihan ekonomi kita," katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Dr. Maszlee Malik (PH-SIMPANG RENGGAM) di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Alexander Nanta Linggi
DATUK Alexander Nanta Linggi

Maszlee mengajukan soalan berkaitan usaha bersepadu antara KPNHEP dengan syarikat GLC tempatan untuk menggalakkan penggunaan produk dan perkhidmatan daripada syarikat tempatan sama ada dalam industri digital dan lain-lain.

Perkara tersebut menjadi kebimbangan Ahli Parlimen Simpang Reggam itu dalam usaha membantu Perusahaan Mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PMPKS) yang terpaksa mendepani cabaran menyelamatkan pekerja daripada dibuang akibat COVID-19.

Terdahulu, DagangNews.com turut melaporkan Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputra Malaysia (NEF) mendesak kerajaan agar memberi sokongan kepada syarikat ICT tempatan berbanding syarikat asing bagi memacu kemajuan ekonomi negara.

Dalam laporan itu, NEF memberitahu, setelah sekian lama perolehan dan projek berskala besar dianugerahkan kepada syarikat asing serta polisi kerajaan yang sedia ada juga tidak memihak kepada produk dan solusi syarikat tempatan.

Jelas Alexander lagi, usaha tersebut akan menjadi tumpuan negara dalam usaha memulihkan ekonomi dengan memanfaatkan kelebihan yang ada.

"Jadi ini akan jadi tumpuan supaya kita dapat betul-betul manfaatkan ekonomi kita dengan menggunakan apa yang kita ada," katanya. - DagangNews.com