Greenverse melabur RM220 juta di Taman Biopolimer Kerteh  | DagangNews Skip to main content

Greenverse melabur RM220 juta di Taman Biopolimer Kerteh 

Pengerusi Greenverse Sdn. Bhd., Datuk Hishammuddin Hasan menyerahkan tandatangan setuju terima pajakan tanah kepada Setiausaha Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu, Nor Azam A. Rahman@Yusof dalam majlis yang diadakan 14 November lalu.

 

 

KUALA LUMPUR 17 Nov - Greenverse Sdn. Bhd. (GVSB) menandatangani tawaran penerimaan untuk menyewa tanah seluas 50 ekar daripada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT). 

 

Dalam kenyataan, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berkata, tawaran tersebut adalah untuk membangunkan loji pengurusan sisa berjadual bersepadu di Taman Biopolimer Kerteh (KBP), dengan jumlah pelaburan bernilai RM220 juta.

 

Tawaran penerimaan ini telah ditandatangani dalam satu majlis yang diadakan 14 November lalu antara Pengerusi GVSB, Datuk Hishammuddin Hasan dan LTAWNT yang diwakili Setiausaha Lembaga, Nor Azam A. Rahman @ Yusof. 

 

Majlis tersebut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Terengganu, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar; Setiausaha Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat.

 

KBP adalah hab bio-ekonomi dan kimia khusus ECER, meliputi kawasan seluas 140 hektar dengan kedua-dua Fasa 1 dan 2 sudah diduduki sepenuhnya. 

 

Bagi menampung permintaan yang meningkat daripada para pelabur, pembangunan Fasa 3 telah siap pada tahun lalu. 

 

"Menerusi pelaburan terbaru ini, jumlah pelaburan di KBP telah meningkat kepada RM5.6 bilion dengan lebih 5,000 peluang pekerjaan diwujudkan untuk rakyat," katanya. 

 

GVSB yang ditubuhkan pada 2019 oleh Datuk Alex Heng Sia Kwang, yang juga Pengarah GVSB telah membina reputasi dalam penyediaan perkhidmatan dan penyelesaian profesional untuk pengurusan sisa.

 

Ia adalah syarikat yang pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi FEMD TECH (Film Evaporation, Molecule Distillation Technology) dalam projek pemulihan minyak dan pelarut. 

 

Pelaburan GVSB di KBP, yang dibangunkan dan diuruskan oleh ECERDC, akan menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor Minyak, Gas dan Petrokimia di Terengganu. 

 

Loji yang disasarkan beroperasi pada 1 Januari 2025 ini dijangka dapat membantu industri di ECER khususnya di KBP, Kemaman dan Kerteh untuk mengurangkan kos pelupusan sisa berjadual dan merawat sisa berjadual dengan lebih cekap menerusi kaedah yang mampan dan bertanggungjawab dari segi sosial. 

 

"Malah, loji ini juga akan melengkapkan ekosistem di Kerteh dengan menawarkan perkhidmatan pengurusan sisa yang menyeluruh daripada analisis, rawatan, kitar semula, pemulihan dan logistik, sehingga pelupusan akhir sisa berjadual.

 

"Pelaburan ini dijangka mewujudkan sehingga 250 peluang pekerjaan baharu yang merangkumi kategori profesional, pengurusan dan kemahiran teknikal. 

 

"Ini adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan bagi meningkatkan taraf hidup mereka," jelasnya.

 

ECERDC adalah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, yang kini merupakan wilayah sedang pesat membangun dan menjadi destinasi pelaburan yang unik, dinamik dan berdaya saing. - DagangNews.com