F&N raih laba besar susulan sentimen pengguna Malaysia ke atas jenama Barat - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

F&N raih laba besar susulan sentimen pengguna Malaysia ke atas jenama Barat - Kenanga Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Mei - Sentimen negatif pengguna ke atas jenama Barat ketika ini memberi manfaat buat jenama Asia dan tempatan yang telah lama bertapak kukuh dalam pasaran Malaysia seperti F&N.

 

Kenanga Research berkata, faktor ini dipercayai dilihat mendorong F&N Holdings Berhad mencatatkan keputusan suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) mengatasi jangkaan dengan keuntungan bersih teras 2QFY24 melonjak 62%.

 

"Kami percaya F&N mungkin mendapat manfaat daripada pengguna yang memilih jenama Asia (berbanding jenama Barat) dan akan terus didorong oleh peningkatan ketibaan pelancong ke Malaysia dan Thailand," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

 

Kenanga Research turut menyukai tumpuannya pada produk makanan dan tenusu halal yang mempunyai pertumbuhan tinggi manakala penyelarasan kemudahan pembuatan Sri Nona dan Cocoaland seharusnya meningkatkan kecekapan dan seterusnya memberi keuntungan.

 

"Pendapatannya kukuh memandangkan permintaan yang stabil untuk barangan makanan penting walaupun inflasi tinggi dan prospek ekonomi global yang tidak menentu," jelasnya.

 

cola
Produk cola F&N menjadi alternatif kepada jenama Barat. /Gambar hiasan

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu menaikkan harga sasaran (TP) F&N sebanyak 13% kepada RM38.25 sesaham daripada RM33.80 sebelumnya dengan mengekalkan saranan 'Outperform'.

 

"Jangkaan keuntungan bersih F&N pada FY24F dan 25F juga dinaikkan masing-masing sebanyak 12% dan 13%, selepas unjuran jualan dan margin ditingkatkan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

F&N merekodkan untung bersih lebih tinggi sebanyak RM165.41 juta pada suku kedua berakhir 31 Mac 2024 daripada RM101.18 juta pada suku kedua 2023 didorong oleh jualan yang lebih tinggi.

 

f n n

 

Hasil juga meningkat kepada RM1.35 bilion daripada RM1.21 bilion sebelumnya, dipacu oleh momentum pertumbuhan yang mampan untuk perniagaan makanan dan minuman (F&B) di Thailand dan Malaysia, jualan perayaan di Malaysia dan baht Thailand yang lebih kukuh.

Dalam perkembangan sama, MIDF Research kekal optimistik tentang prospek FY24 F&N yang disokong antaranya peralihan pilihan pengguna Malaysia terhadap jenama tempatan.

 

Selain itu, jualan produk siap diminum yang kukuh, jumlah pelancong yang tinggi dan kos input bahan mentah yang lebih rendah juga menyokong prospek syarikat tersebut.

 

"Kekalkan BELI dengan TP tidak berubah sebanyak RM37.00 sesaham. Ramalan pendapatan kami untuk FY24-26F kekal tidak berubah sementara menunggu taklimat penganalisis," ujarnya.- DagangNews.com