KUALA LUMPUR 27 Julai - Kerajaan akan memberikan semula keistimewaan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan yang menamatkan ijazah sarjana muda kelas pertama, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata, keistimewaan itu akan diberikan kepada graduan yang menamatkan pengajian bermula tahun 2019, tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama.
Beliau berkata, ia sebagai dorongan kepada anak-anak Keluarga Malaysia untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan yang terbaik dalam pengajian mereka.
"Saya berharap PTPTN dapat berbincang dengan Kementerian Kewangan berkenaan perkara ini dari segi peruntukan yang terlibat," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade, di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau juga melihat PTPTN telah memberikan tumpuan kepada aspek penabungan dalam kerjasama strategik.
Justeru katanya, PTPTN juga boleh melaksanakan inisiatif yang sama untuk meningkatkan kutipan bayaran balik pinjaman.
"Saya difahamkan kerjasama ini telah mula diadakan dengan Kerajaan Negeri Sarawak dengan amaun yang disumbangkan lebih daripada RM 30 juta.

"Langkah kerjasama ini amat baik dan perlu dipertingkatkan dengan semua kerajaan negeri. PTPTN menyasarkan kutipan balik pinjaman melalui inisiatif ini adalah sebanyak RM50 juta," katanya.
Sempena Sambutan Jubli Perak ini, beliau berkata, PTPTN menghargai jasa, sumbangan serta kerjasama yang diberikan pelbagai pihak termasuk kementerian, jabatan, agensi awam serta individu sepanjang 25 tahun penubuhannya.
Beliau berkata, ia termasuklah kerjasama PTPTN dengan Kerajaan Negeri untuk memberikan insentif berupa akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada kanak-kanak yang baru dilahirkan.
"Begitu juga dengan pihak kementerian dan agensi awam yang telah memberikan insentif atau hadiah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada kakitangan masing-masing dalam bentuk akaun Simpan SSPN.
"Selain itu, PTPTN juga turut memberikan penghargaan kepada peminjam PTPTN yang berjaya menamatkan pengajian dan seterusnya memberikan sumbangan kepada keluarga dan negara.
"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada bakal-bakal penerima anugerah serta sijil penghargaan daripada PTPTN yang terdiri daripada Anugerah Tokoh Peminjam Berinspirasi, Anugerah Keluarga Malaysia Berinspirasi dan Penghargaan Kerajaan Negeri, Kementerian dan Agensi," katanya. - DagangNews.com








