KUALA LUMPUR 14 Jun - Bersempena dengan ulang tahun ke-5 GrabFood Malaysia, platform penghantaran makanan itu mengumumkan pengembangannya di seluruh negara untuk memberikan perkhidmatan kepada lebih ramai komuniti.
Dilancarkan pada Mei 2018, GrabFood kini berada di lebih 100 daerah di seluruh negara, bersamaan dengan kira-kira 95% daripada anggaran penduduk Malaysia.
Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia, Jiong Jian Tan berkata, beliau menekankan bahawa strategi pertumbuhan mereka tidak hanya melihat bidang perkhidmatan.
Beliau berkata, pihaknya telah memberi tumpuan untuk mengembangkan kehadiran di seluruh Malaysia kerana manfaat yang dipercayai untuk semua rakyat Malaysia.
"Bagaimanapun, selain memperluaskan ketersediaan kami, kami juga ingin mempertingkatkan cara GrabFood boleh menyokong pelbagai keperluan dan matlamat.
"Sama ada penggunanya yang mencari pilihan penghantaran mampu milik atau pemilik restoran yang ingin mengembangkan perniagaan mereka, GrabFood menyasarkan untuk merevolusikan penghantaran atas permintaan dengan inovasi teknologi yang sentiasa dibina dengan mengambil kira keperluan anda," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Tan, bagi pengguna, pihaknya telah berkembang untuk mempunyai rangkaian restoran terluas, yang mana secara purata bilangan rakan kongsi di GrabFood meningkat lebih dua kali ganda setiap tahun sejak dilancarkan pada 2018.

Katanya, pihaknya juga telah memberi tumpuan mengenai peningkatan yang boleh memberikan mereka lebih nilai dan penjimatan.
"Baru-baru ini kami melancarkan Saver Delivery yang menyediakan pengguna dengan bayaran penghantaran terendah daripada hanya RM1.
"Ditambah dengan GrabUnlimited yang membuka kunci penjimatan tambahan di seluruh perkhidmatan Grab, pengguna mempunyai pelbagai peluang untuk menjimatkan wang mereka," katanya.
Beliau berkata, pihaknya menumpukan pada penyampaian pengalaman terbaik untuk ekosistem mereka, yang bermula sebagai perkhidmatan ringkas menyampaikan makanan telah berkembang menjadi industri dipercayai rakyat Malaysia.
"Dan hari ini dengan aplikasi Grab kami, anda boleh menikmati pengalaman hiperlokal yang diperibadikan kepada bandar yang anda lawati, tidak kira di mana anda berada di Malaysia atau rantau ini," katanya. - DagangNews.com








