GrabFood Malaysia perkenal kos penghantaran serendah RM1 menerusi Saver Delivery | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GrabFood Malaysia perkenal kos penghantaran serendah RM1 menerusi Saver Delivery

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - GrabFood Malaysia melancarkan 'Saver Delivery' dengan kos penghantaran berpatutan serendah RM1 untuk para pengguna dengan rangkaian restoran terluas di seluruh negara menerusi aplikasi tersebut. 

 

Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia,  Jiong Jian Tan berkata, pihaknya percaya betapa pentingnya untuk terus meningkatkan perkhidmatan, menjadikannya lebih berpatutan sambil memenuhi keperluan setiap pengguna. 

 

"Kami berharap dengan penambahbaikan ini dapat memperluaskan lagi perkhidmatan ini kepada lebih ramai rakyat Malaysia dan memberi mereka kemudahan yang boleh diakses dan sesuai dengan gaya hidup mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Tan berkata, dengan adanya kemudahan seperti  ini, penghantaran makanan akan lebih mudah diakses pengguna serta memenuhi pelbagai selera. 

 

Katanya, pilihan penghantaran yang telah diperkemaskan juga dapat memberi manfaat kepada rakan kongsi penghantaran dan rakan niaga supaya dapat merangsangkan lagi peluang mereka untuk menjana pendapatan tambahan.

 

“Kami komited untuk terus mempertingkatkan perkhidmatan untuk memberikan penyelesaian kepada semua pengguna dalam ekosistem yang bergantung pada platform kami. 

 

"Melalui ini, kami berharap dapat melindungi kemampanannya yang mana kami akan sentiasa menyediakan kemudahan berpatutan kepada pengguna dan juga sebagai sumber peluang pendapatan bagi rakan niaga dan rakan kongsi penghantaran," katanya.

 

 

grab

 

 

Diperkenalkan dalam fasa perintisnya pada November 2022, Saver Delivery adalah pilihan yang mana pengguna dapat menikmati kos penghantaran serendah RM1 sebagai pertukaran dengan masa penghantaran yang lebih lama sedikit. 

 

Ini dilakukan dengan pengumpulan pesanan untuk rakan penghantar Grab yang dalam perjalanan ke arah yang sama. 

 

 

grab

 

 

Oleh itu, hanya restoran tersedia mempunyai Saver Delivery bergantung pada beberapa faktor seperti masa pesanan dibuat dan lokasi. 

 

Pengembangan Saver Delivery juga menyaksikan pengenalan Direct Delivery dalam pilihan penghantaran yang telah diubahsuai, yang mana ia dapat mengurangkan lagi masa penghantaran bagi pengguna yang mahu mempercepatkan proses penerimaan pesanan mereka.

 

 

grab

 

 

Bersama dengan pilihan baharu ini, ciri seperti keupayaan menjadualkan pesanan (scheduled order) dan pengambilan makanan sendiri (self pick up), memberikan pengguna pelbagai pilihan mudah untuk mendapatkan makanan mereka. - DagangNews.com