KUALA LUMPUR 27 Mei - Grab mengumumkan kerjasama dengan KLEAN dan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), yang akan melihat penyelesaian memulihkan dan mengitar semula plastik terpakai menerusi Reverse Vending Machines (RVMs).
Grab Malaysia berharap perkongsian itu akan membantu menggalakkan kitar semula dan memudahkan pengguna menyumbang kepada Malaysia yang lebih hijau.
Inisiatif baharu ini merupakan satu lagi langkah penting kerana syarikat terus meningkatkan usaha kemampanan alam sekitarnya, sebagai sebahagian daripada komitmennya kepada 'triple bottom line'.
Melalui perkongsian ini, Grab dan KLEAN merancang untuk melancarkan RVMs di lokasi tertentu, yang mana pengguna boleh menghantar sisa pembungkusan makanan boleh kitar semula mereka dengan mudah.
Selain itu, Grab akan memanfaatkan platformnya untuk meningkatkan keterlihatan, memacu penyertaan pengguna dan usaha pendidikan.
Peranan MRANTI dalam menyediakan kemudahan bersepadu untuk perkhidmatan penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan inovasi (R&D & C&I) menyeluruh akan membantu dalam peningkatan AI pada RVM, serta membantu mempercepatkan pengkomersilan produk.
Ketua Pemasaran Negara Grab Malaysia, Hassan Alsagoff berkata, mereka berusaha untuk melindungi alam sekitar kerana ia penting ke arah membina perniagaan kecil berdaya tahan dan komuniti kukuh yang boleh berkembang maju untuk generasi akan datang.
"Kami akan terus bekerjasama dengan badan kerajaan, rakan kongsi korporat dan penggubal dasar melalui pelbagai program, untuk menangani cabaran perubahan iklim. Bersama-sama kami mahu mencipta masa depan yang mampan dan menyediakan cara mudah untuk pengguna kami membuat pilihan yang lebih hijau dalam keputusan setiap hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Kewangan KLEAN, Joey Azman pula berkata, mereka memuji komitmen Grab Malaysia untuk memulihkan semula dan mempromosikan kitar semula plastik terpakai di samping matlamatnya untuk bekerjasama secara tempatan.
"Dengan peningkatan populariti penghantaran makanan dan barangan runcit, adalah penting untuk kita mencari cara untuk membolehkan kitar semula lebih banyak sisa plastik. Kami berharap syarikat lain akan menyertai kami dalam misi untuk meningkatkan tabiat kitar semula pengguna melalui versi digital KLEAN," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar menegaskan, pihaknya bersedia untuk merapatkan jurang antara kerjasama sektor awam dan swasta.
"Ia menghubungkan penyataan masalah (permintaan) dengan penyelesaian (pembekalan) dan meningkatkan penyertaan sektor swasta, sama ada melalui akses pasaran, pelaburan, khidmat nasihat, perundingan atau menyediakan kemudahan ujian dan prototaip. Kerjasama projek ini di kalangan pemikir hebat Grab dan KLEAN adalah matlamat kami untuk memupuk lebih jauh dalam ekosistem," katanya. - DagangNews.com








