KUALA LUMPUR 9 Feb - Peneraju platform perkhidmatan mobiliti berdasarkan permintaan, GoCar Malaysia, mengumumkan pelaksanaan kadar baharu servis perkongsian kereta elektrik GoEV pada harga yang lebih mampu milik.
Kadar jam terkini telah dikurangkan hampir 30% manakala kos tempahan untuk tempoh 30 hari dan ke atas jimat hampir 50%, katanya dalam kenyataan hari ini.
“Pengurangan harga itu selari dengan usaha berterusan syarikat itu untuk mengembangkan pengalaman memandu EV di Malaysia apabila menjadikan GoEV lebih mudah diakses oleh orang ramai,” tambahnya.
Syarikat itu berkata, kadar jam tempahan pergi dan balik untuk GoEV Share ialah RM17.90, penurunan kadar daripada RM24.90 sejam.
Sementara itu, kadar harian dikurangkan kepada RM179 berbanding RM249 sehari sebelum ini.
Kadar tempahan jangka masa panjang iaitu 30 hari dan ke atas kini adalah RM120 sehari berbanding RM232 sebelum ini.
Menurut GoCar, dua zon baharu telah ditambah bagi meningkat kebolehdapatan GoEV di Lembah Klang iaitu di IOI City Mall (Level P1, di antara tiang F7 dan F8) dan 1 Mont Kiara (Zone C5, Level P3, Bay 162-164).

“Lokasi sedia ada termasuklah GoCar Petaling Jaya Hub, GoCar Lot92 Cuba Beli Chow Kit, Avenue K KLCC, ERL Station KL Sentral, The LINC KL Jalan Tun Razak, MidValley Megamall, MyTown Cheras, Nissan/Renault ETCM Glenmarie dan 163 Retail Park Mont Kiara,” tambahnya.
GoCar berkata, penggunaan GoEV adalah ideal untuk pemanduan urban kerana syarikat tersebut menggunakan kereta daripada model elektrik Nissan Leaf yang dilengkapi bateri 40kWh yang boleh dibawah maksimum sejauh 311km dengan sekali caj.
Syarikat itu juga menyediakan kad milik chargEV di dalam kereta mereka agar pengguna dapat melakukan pengecasan AC percuma. – DagangNews.com








