Globaltech, PT Laras Energy meterai perjanjian bekal metana arang batu di Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Globaltech, PT Laras Energy meterai perjanjian bekal metana arang batu di Indonesia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Feb - Globaltec Formation Bhd. menerusi anak syarikatnya, NuEnergy Gas Ltd memeterai perjanjian induk (HOA) dengan PT Laras Ngarso Gede (PT Laras Energy) untuk membekalkan dan menjual metana arang batu (CBM) menerusi Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Tanjung Enim, Selatan Sumatera, Indonesia.

 

HOA itu berkuat kuasa sehingga tarikh perjanjian jual beli gas dilaksanakan, atau sehingga 9 Ogos 2023, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Kedua-dua pihak menjangkakan perjanjian itu akan dilaksanakan pada suku kedua 2023, meliputi tempoh lima tahun dan boleh dilanjutkan melalui persetujuan bersama secara bertulis.

 

Fasa awal penjualan gas ini, dianggarkan pada satu juta kaki padu standard sehari (mmscfd) CBM, menyasarkan keperluan tenaga bagi pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan di Sumatera Selatan.

 

"Di bawah HOA ini, Dart Energy menyasarkan untuk memulakan penjualan dan penghantaran CBM kepada PT Laras Energy pada 1 Oktober 2023 atau tarikh yang dipersetujui bersama oleh semua pihak, dan sehingga jumlah kontrak kontrak CBM sebanyak 1.49 bilion kaki padu standard (mmscf) telah dihantar sepenuhnya, yang mana lebih awal,” katanya.

 

Perjanjian itu dimeterai hari ini antara Dart Energy (Tanjung Enim) Pte Ltd, anak syarikat milik penuh NuEnergy dengan PT Laras Energy, gas asli hiliran dan pembekal produk terbitannya.

 

Pembekalan CBM ke kawasan-kawasan berkenaan akan menangani bukan sahaja keperluan tenaga tetapi juga akan membantu industri di sekitar beralih secara beransur-ansur kepada penggunaan tenaga bersih dalam operasi/perniagaan.

 

Penjualan gas sebanyak 1 mmscfd mewakili kemajuan awal untuk mencapai 25 mmscfd pengeluaran gas seperti diluluskan di bawah Tanjung Enim POD-1, oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia pada 17 Jun 2021.

 

Dalam pada itu, menerusi makluman secara berasingan, ia turut memaklumkan, NuEnergy menerusi anak syarikatnya, Indo CBM Sumbagsel II Pte Ltd memperoleh kelulusan bagi tambahan penerokaan selama 24 bulan sehingga 29 Januari 2025, bagi melengkapkan komitmen penerokaan untuk Muara Enim II PSC. - DagangNews.com