KUALA LUMPUR 11 Julai - Global Infrastructure Partners (GIP) dalam Gateway Development Alliance (GDA) telah secara rasmi mendedahkan pengambilalihan dan penggabungan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada Bursa Malaysia yang dijangka memberi manfaat kepada MAHB dengan pelaburan lebih tinggi, peningkatan perkhidmatan dan pertumbuhan penumpang yang kukuh.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, AmInvestment Bank Berhad mengumumkan berkaitan dengan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat sebelum ini pada 15 Mei 2024, GDA yang terdiri daripada Pantai Panorama Sdn Bhd, Kwasa Aktif Sdn Bhd, dan GIP Aurea Pte. Ltd. (secara kolektif, "penawar bersama") akan melaksanakan pindah milik melalui GDA terhadap semua saham biasa yang masih dipegang oleh pihak penawar bersama (saham tawaran) dengan bayaran tunai sebanyak RM11 setiap saham yang ditawarkan.
Urusan dalam saham biasa MAHB (Saham MAHB) yang dilakukan pada 5 Julai 2024, seperti yang dipetik kelmarin dalam pemfailan oleh AmBank (M) Berhad, pihak yang berurusan telah melepaskan 50,000 saham pada harga transaksi sebanyak RM10.108 bagi setiap saham MAHB.
AmInvestment Bank Berhad menyatakan keperluan pendedahan telah dibuat di bawah perenggan 19.05 peraturan pengambilalihan, penggabungan dan pemerolehan wajib berkenaan dengan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat sebelum ini oleh pihak penawar bersama untuk memperoleh saham dalam MAHB.
Pengarah Pengangkutan GIP dan Pengarah GDA, Phil Iley sebelum ini mengingatkan bahawa GIP telah memperoleh kepentingan dalam Signature Aviation pada tahun 2021, yang memiliki dan mengendalikan lebih daripada 200 kemudahan penerbangan persendirian di 27 negara, menjadikannya rangkaian pengendali asas tetap terbesar di dunia.
"Pengambilalihan ini menunjukkan pengalaman luas kami dalam mengurus rangkaian global aset penerbangan," katanya dalam jawapan bertulis seperti dilaporkan Bernama bulan lalu.
Sebagai pengulangan, GDA dan pemegang sahamnya telah pada 15 Mei 2024 mengumumkan tawaran sukarela bersyarat sebelum ini untuk memperoleh semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh Konsortium, pada harga tawaran RM11 setiap saham yang bersamaan dengan RM18.4 bilion.
Iley juga menekankan pengalaman GIP dalam mengurus dan mengendalikan lapangan terbang melalui pelaburan mereka dalam Sydney Airport, London Gatwick Airport, Edinburgh Airport, Signature Aviation, dan sebelum ini London City Airport.
"Semua lapangan terbang kami telah mendapat manfaat daripada pelaburan yang meningkat, peningkatan perkhidmatan, penurunan masa menunggu untuk penumpang, gerai komersial berkualiti tinggi dan pertumbuhan penumpang yang kukuh dan kami yakin untuk mencapai kejayaan yang sama di MAHB.
"Lapangan terbang adalah pemboleh utama aktiviti ekonomi, pelancongan dan pelaburan asing. Kami yakin bahawa MAHB yang diperbaiki akan mendorong pertumbuhan di Malaysia untuk kebaikan ekonomi dan rakyatnya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: BlackRock sudah lama di Malaysia, nilai pelaburan kini lebih RM32 bilion

Iley menegaskan bahawa GIP dan rakan-rakannya optimis dan komited untuk memajukan MAHB ke tahap yang lebih tinggi. Mereka melihat prospek yang sangat baik bagi MAHB untuk mendapatkan semula kedudukannya di pasaran dan meningkatkan hubungan rangkaian yang telah di bawah prestasi dalam beberapa tahun terakhir.
GIP adalah firma global dengan kehadiran kukuh di 13 negara Asia dan telah melabur dan mengendalikan aset infrastruktur yang signifikan secara kebangsaan selama lebih dari 18 tahun.
Pada masa ini, ia mengurus aset bernilai US$112 bilion (RM527.5 bilion) dan melabur dalam 41 syarikat yang mempunyai lebih daripada 115,000 pekerja.
Turut dilaporkan sebelum ini bahawa Kerajaan Malaysia akan mengekalkan hak saham khas dalam MAHB.- DagangNews.com








