Gerakan koperasi perlu teroka peluang dalam teknologi hijau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gerakan koperasi perlu teroka peluang dalam teknologi hijau

Pengurus Lembaga Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Bhd., Mohd. Najib Mohd. Noor (kanan) bertukar dokumen perjanjian persefahaman bersama Ahli Lembaga Koperasi Perkhidmatan Setia Bhd. (Kosetia), Ahmat Murtza Salleh (kiri) disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (dua kiri) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi Usaha Sama Pembangunan Projek Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan Bahan Buangan Kelapa Sawit di Seluruh Negara, hari ini.

KUALA LUMPUR 17 Jan - Gerakan koperasi di negara ini disaran supaya merebut peluang baharu dalam teknologi hijau yang menyaksikan pertumbuhan meluas berikutan peralihan minat masyarakat dunia terhadap teknologi tersebut.

 

Perkara itu juga sejajar dengan komitmen kerajaan yang mahu menjadikan teknologi hijau sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah pembangunan mampan. 

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, banyak produk terhasil daripada inovasi teknologi hijau seperti kertas, tisu, makanan haiwan ternakan dan baja dapat dimanfaatkan gerakan koperasi dalam konteks model perniagaan baharu itu.

 

Katanya, peluang yang diberikan kepada koperasi melalui inisiatif swasta seperti ini dapat memperlihatkan keberanian koperasi seperti Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Bhd. (Koop Sahabat) dan Koperasi Perkhidmatan Setia Bhd. (Kosetia) untuk melibatkan diri dalam pelaburan berkonsepkan teknologi hijau dan mampan. 

 

“Saya mengharapkan usaha yang direncanakan ini akan membuahkan hasil yang baik demi kebaikan seluruh koperasi di negara ini. 

 

“Usaha ini melibatkan mereka yang mempunyai pengalaman dalam bidang masing-masing dan dengan muafakat kerjasama melibatkan kepakaran pelbagai akan mencetuskan impak yang memberi kesan jangka panjang kepada gerakan koperasi,” katanya. 

 

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Peluang Pemilikan Saham Dalam Syarikat Tersenarai Awam untuk Koperasi dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Projek Pembangunan Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan Bahan Buangan Kelapa Sawit Seluruh Negara, hari ini. 

 

MoU itu membabitkan Nextgreen Global Bhd., Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Koop Sahabat dan Kosetia. 

 

Menurut Noh, pemimpin koperasi berpeluang untuk meneliti satu lagi peluang iaitu pemilikan saham dalam syarikat tersenarai awam iaitu Nextgreen Global dan mempelopori teknologi hijau inovatif dengan menerapkan konsep sifar sisa dalam bentuk lestari serta sedang membangunkan Taman Teknologi Hijau (GTP) yang berkeluasan 410 ekar di Pekan, Pahang. 

 

Katanya, GTP yang dibangunkan oleh Nextgreen ini dilengkapi dengan teknologi bersepadu yang bermatlamat untuk memacu perkembangan ekonomi hijau dalam negara dan menjadi satu peluang besar terbuka untuk koperasi.

 

“Malah, penglibatan MGTC, agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air yang diberi mandat oleh kerajaan untuk memperkasa pertumbuhan hijau, di samping menangani perubahan iklim ke arah kelestarian alam sekitar dilihat mampu berperanan sebagai pemangkin kepada kejayaan projek yang dibangunkan syarikat ini.

 

“Pemikiran baharu dalam kalangan pemimpin koperasi iaitu keupayaan untuk memperbaharui model perniagaan koperasi masing-masing berdasarkan senario semasa memberikan impak besar terhadap perkembangan ekonomi semasa,” katanya. 

 

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd. Najib Mohd. Noor berkata, melihat kepada perkembangan dan signifikan industri kelapa sawit di negara ini menyebabkan Koop Sahabat melabur di dalam projek teknologi hijau industri kelapa sawit membabitkan pengurusan dan pelupusan sisa buangan tandan kosong kelapa sawit serta keperluan untuk mengorak langkah bagi melestarikan inisiatif negara ke arah sifar sisa.

 

Katanya, sisa buangan buah tandan kosong kelapa sawit merupakan sisa buangan paling besar bahkan perlu diuruskan untuk pelupusan sisa tersebut dengan sistematik dan baik. 

 

“Ini adalah untuk memastikan kelestarian industri dan alam sekitar. Sehubungan itu, Koop Sahabat melihat kepada keperluan untuk mewujudkan pusat pengumpulan dan pemprosesan bahan buangan kelapa sawit ini. 

 

“Koop Sahabat juga berpendapat projek ini bakal memberi manfaat besar kepada industri kelapa sawit di Malaysia yang mana memberi peluang agar sisa buangan buah tandan kosong dapat diuruskan secara efektif dan teratur serta mampu menjadi industri hiliran yang dapat memberikan peluang janaan pendapatan kepada pelabur dan koperasi,” katanya. - DagangNews.com